Bukan Kemewahan Julang Lang Merah

MOHD. FAOZI MUKHLAS meninggalkan kata-kata yang penuh motivasi KUALA LUMPUR 19 Sept. – Jurulatih penjaga gol Kedah, Mohd. Faozi Mukhlas memberi kata-kata yang penuh motivasi buat skuad Lang Merah menje­lang separuh akhir Piala Malaysia hujung bulan ini apabila percaya, keikhlasan dan perasaan cintakan pasukan telah membawa mereka pada kedudukan sekarang.

Selepas muncul naib juara di belakang Selangor tahun lalu, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe berada di landasan terbaik untuk memburu kejuaraan Piala Malaysia buat kali kelima selepas membelasah Negeri Sembilan 5-0 dalam suku akhir kedua, minggu lalu.

Malah, kedudukan Lang Merah dalam Liga Super juga agak baik apabila berada di tangga ketiga ketika saingan berbaki dua perlawanan dengan me­ngumpul 34 mata, 18 mata di belakang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT). Felda pula berkedudukan kedua dengan 42 mata.

Kedah, juara Piala Malaysia 2008, 2007, 1993 dan 1990 akan berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, 30 September ini.


Mereka kemudian akan bertandang ke Stadium Hang Jebat, Melaka untuk aksi timbal balik pada 15 Oktober.

“Sesuatu yang saya pelajari bersama Kedah ialah bukan kemewahan semata-mata yang menentukan kejayaan sesuatu pasukan. Keikhlasan dan pe­rasaan cintakan pasukan itu sebenarnya yang menjana kejayaan.

“Bagaimanapun, banyak juga yang perlu kita tangani untuk memastikan perkembangan baik ini dapat kita teruskan sehingga Kedah menjadi sebuah pasukan yang disegani bukan sahaja di negara ini, malah Asia Tenggara dan seterus­nya Asia,” kata Faozi menerusi kenyataan yang dimuat naik Facebook Kedah FA, hari ini.

Menurut Faozi lagi, biarpun berjaya melakar keputusan memberangsangkan ketika membenam Negeri Sembilan, namun perjuangan Lang Merah belum berakhir dan mereka akan menyahut cabaran dalam semangat kekeluargaan yang tinggi.

“Ini sesuatu yang saya tidak pernah rasai selama melibatkan diri dalam bola sepak sama ada bersama pasukan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan juga ketika saya berada dalam FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) selama 14 tahun,” ujarnya lagi.

FBKFA/Utusan

Comments

comments

, ,