Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Search Sambut Ulangtahun Ke 35 Dengan Konsert Bernilai Hampir 3 Juta

ROCK bukan irama asing bagi remaja yang membesar sekitar lewat 1980-an atau 1990-an. Dalam tempoh tersebut, kemeja ketat, jaket kulit atau baju-T bertulis nama kumpulan pujaan atau simbol rock dan jeans sendat menguasai pengaruh fesyen muda-mudi, walaupun bagi mereka yang tidak tinggal di bandar besar.

Kenyataan tersebut bukan fantasi yang hanya tersimpan di gedung mimpi pencinta muzik, malah rock telah menular menjadi sub budaya yang cukup kuat impaknya dalam khalayak.

Dari Selatan tanah air, pada tahun 1981, sekumpulan anak muda dianggotai Hillary Ang (gitar), Nasir Daud (bass) dan Yazit (dram) dan Suhaimi Rahman (Amy) datang ibu negara. Mereka bermain di kelab malam Red Rooster di Taman Dr. Dr. Ismail, Petaling Jaya.

Di situ Datuk M. Nasir menjadi tetamu wajib mereka, bahkan M. Nasir juga menjadi orang paling bertanggungjawab membawa Search ke dunia muzik komersial apabila menyunting dan bertindak sebagai penerbit tiga album terawal Search, Cinta Buatan Malaysia (1985), Langit dan Bumi (1986) dan Mentari Merah Di Ufuk Timur (1987).

Bermula di kelab malam sehingga berjaya mengikat kontrak rakaman dengan Polygram Records di Singapura seterusnya menjadi artis jemputan dalam Pertandingan Battle Of The Band (1986), diikuti konsert pertama di Panggung Anniversari pada tahun sama, itu rangkuman ringkas introduksi sebuah kumpulan yang kini menjadi legenda, Search. Diukur dalam jarak masa, sudah 35 tahun rupa-rupanya Search berada dalam arus muzik negara.

Tempoh 35 tahun juga bukan sebuah detik singkat untuk mengukur survival dan jangka hayat sesebuah kumpulan muzik. Bukan hayat sahaja, bahkan momentum juga menjadi penentu bagaimana sesebuah kumpulan atau seseorang artis itu bertahan melewati zaman.

Dengan puluhan album termasuk studio dan kompilasi, rantaian hit, konsert, ribuan persembahan umum, mencipta fenomena di Indonesia serta keluar masuk ahli yang akhirnya meletakkan lima nama Amy, Din, Kid, Nasir dan Yazit, tenaga Search belum bersisa.

Sokongan peminat dan kepercayaan penganjur terhadap mereka juga tidak pudar apabila pada saat salah seorang anggota, Yazit masih menerima rawatan akibat komplikasi buah pinggang sejak beberapa tahun lalu, Search tetap diberi keyakinan untuk mengadakan sebuah konsert berskala mega di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 9 April nanti.

Momen terindah

Bakal mengulangi momen Konsert Evolusi Rock 2004 di lokasi sama (Stadium Merdeka) yang dihadiri 45,000 peminat, Amy menganggap penganjuran konsert yang diberi nama Konsert #35Search tersebut sebagai sebuah malam yang akan menyaksikan momen indah Search selama ini.

“Saya mahu memastikan malam 9 April nanti menjadi momen terindah buat Search. Sebagai penghibur macam kami, saat itu tak boleh dilepaskan. Bagi saya, 35 tahun juga satu tempoh panjang.

“Dua puluh tahun lalu, kami tidak fikir akan sampai ke tahap seperti sekarang,” jelas Amy membayangkan konsert ulang tahun ke-35 tahun penubuhan Search sebagai konsert terbesar yang bakal menggegarkan peminat.


Menghimpunkan sejarah panjang untuk dilagukan pada satu malam, tentunya bukan pekerjaan enteng. Persiapan bukan setakat memastikan segala persiapan logistik dan teknikal berjalan seiring, pautan emosi dan kepuasan angkatan Search dan penonton juga harus maksimum.

“Untuk permulaan ini, saya boleh cakap bahawa opening atau pembuka tirai kena gempak, kena bagi orang tak boleh lupa. Begitu juga dengan klimaks. Untuk konsert nanti, kami mahu zahirkan sesuatu yang peminat tak pernah tengok,” tambah Amy.

Mengulas lanjut pemilihan Stadium Merdeka sebagai lokasi konsert, Amy mengibaratkan ia pentas besar seperti Madison Square Garden di New York, Amerika Syarikat yang menjadi pentas konsert berskala besar.

“Kalau di Barat, mana-mana artis yang beraksi di Madison Square Garden dianggap hebat. Sama halnya di Stadium Merdeka kerana orang bayar tiket dan datang semata-mata untuk menonton persembahan kami,” katanya teruja.

Menambahkan kesungguhan pasukan Search dan peminat yang tidak pernah puas dihiburkan dengan kemunculan mereka, kepercayaan syarikat pengendali penerbangan carter domestik, Afjets Sdn. Bhd. yang bertindak sebagai penganjur utama dengan tajaan hampir RM3 juta memberi gambaran awal bahawa Search selayaknya mendapat sokongan sedemikian.

Selain pengaruh dan rekod kejayaan Search yang menjadi ukuran, Ketua Pegawai Eksekutif Afjets, Amrul Anuar Nizar Anuar mengakui, inspirasi terbesar yang merealisasikan kerjasama tersebut terzahir dari jiwanya yang meminati Search sejak kecil.

“Saya fikir lagu-lagu Search boleh menyatukan seluruh peminat dan saya merupakan peminat setia Search. Komitmen kami bukan hanya kepada kelancaran konsert bahkan RM35 ribu akan diinsuranskan untuk kelengkapan sistem bunyi konsert kelak,” jelas Amrul mewakili Afjets pada sidang akhbar pelancaran konsert berkenaan baru-baru ini.

Sebagai imbuhan daripada penaja juga, Amrul berjanji memperuntukkan sebahagian hasil jualan tiket konsert untuk disumbangkan terhadap Yayasan Kanser Tunku Jalil, Persatuan Bekas Polis dan Perajurit serta Al-Bayan School of Quran & Hadith.

Pada sidang akhbar yang berlangsung di Redland Terminal Centre & Hangar Complex di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang tersebut, turut diundang membuat persembahan adalah kumpulan rock generasi baharu, iaitu Bunkface, Pita Hati dan Akim & The Majistret serta Hazama menyanyikan barisan lagu popular Search.

Dilihat daripada segi katalog lagu Search yang berjumlah ratusan judul, malahan setiap peminat mempunyai lagu pilihan masing-masing, tenaga kreatif di belakang tabir konsert nanti semestinya harus memaksimumkan kepuasan semua dalam menentukan seleksi lagu, kecuali Isabella dan Fantasia Bulan Madu lagu yang hukumnya wajib dinyanyikan.

“Kami akan ada segmen-segmen. Seperti yang Amy katakan, pembukaan dan klimaks konsert sangat penting,” kata Nasir.

Masih belum menentukan sama ada bakal menggunakan khidmat kumpulan lain sebagai penyanyi jemputan menjelang konsert tersebut, Search juga tidak gusar memikirkan persaingan konsert lain yang turut dijadualkan berlangsung pada April nanti.

Salah satu daripada agenda yang diketahui umum ialah konsert Ella 2016 pada 16 April di Stadium Malawati, Shah Alam.

“Kami tidak tahu perancangan artis lain, perkara ini berlaku secara kebetulan dan kami percaya setiap artis ada peminat tersendiri,” tambah Amy.

ULANGTAHUN – Ketua Pegawai Eksekutif Afjets, Amrul Nizar Amrul (tiga dari kiri) bersama-sama dengan Yazit, Kid, Noordin, Amy dan Nasir memotong kek sambutan ke-35 tahun penubuhan Search sejak 1981.

Segmen istimewa Yazit

Konsert yang akan berlangsung selama lebih dua jam itu juga bakal menyaksikan kelima-lima ahli kumpulan tersebut beraksi termasuk pemain dram, Yazit biarpun kesihatannya belum pulih.

Tujuh tahun keluar masuk hospital dan masih memerlukan rawatan susulan, Yazit tetap menyatakan kesanggupannya untuk bersama-sama dengan anggota lain menjayakan konsert berkenaan.

“Konsert sebegini merupakan cita-cita sebuah band, sebagai pemuzik kami berusaha memberikan yang terbaik.

“Kami telah melalui susah senang bersama. Jadi, saya akan cuba menjayakan konsert ini namun hanya dalam segmen khas. Cukuplah untuk menjadi pengalaman berharga yang tidak akan dapat saya lupakan sampai bila-bila.

“Saya kena terlibat dalam masa sama kena lepaskan juga. Peminat kena terima kerana saya sudah tidak macam dahulu,” ungkap Yazit.

Seribu janji, sejuta pengharapan kini berterbangan. Seperti kejora yang bersinar di langit pagi, semacam itu juga pengumuman konsert berkenaan menghiasi impian peminat untuk melihat sebuah epik berlagu sepanjang malam.

Tiket untuk menonton konsert #35Search nanti dibahagikan kepada beberapa kategori harga iaitu berharga RM135 (Mat Rock), RM135 (Isabella), RM288 (Kejora), RM288 (Pawana) dan RM899 (Fenomena).

Tiket untuk menonton berharga RM135 (Mat Rock), RM135 (Isabella), RM288 (Kejora), RM288 (Pawana) dan RM899 (Fenomena) mula dijual mulai 11 Februari di www.ticket.com.my.

,