Kelantan Guna Jersi DSV Ganti Nike, Vida Nafi Gelojoh

Annuar MUSA bersama  Dr. Hasmiza Othman telah mencapai persetujuan PETALING JAYA: Penaja utama pasukan bola sepak Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menafikan dakwaan beliau gelojoh berikutan transformasi ‘mengejut’ yang dilakukannya terhadap The Red Warriors (TRW)  musim ini.

Sebaliknya, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata, pembaharuan yang cuba dilakukannya ketika ini adalah sebahagian proses penjenamaan semula pasukan tersebut.

Malah, katanya, penjenamaan semula TRW perlu dilakukan demi mengangkat mutu dan martabat pasukan negeri kelahirannya itu ke peringkat lebih tinggi.

“Saya bukan gelojoh atau suka-suka nak ubah stadium, jersi dan beberapa perkara lain tapi ia dilakukan dengan matlamat yang besar.

“Apabila menyentuh mengenai penjenamaan semula, ia perlu diperkukuhkan di peringkat asas supaya segala yang dirancang akan berjalan lancar,” katanya.

Usahawan kosmetik terkemuka negara itu berkata, tindakannya mengeluarkan jersi dan barangan rasmi pasukan atas jenama DSV (Datuk Seri Vida) adalah salah satu cara untuk menjana pendapatan  TRW.

“Saya cuba ikut konsep kebanyakan kelab terkemuka Eropah yang melakukan pertukaran atau pembaharuan pada jersi setiap musim.

“Saya tidak lihat pertukaran warna jersi akan menjejaskan identiti Kelantan, percayalah kita akan jadi ikon kepada pasukan lain,” katanya.

Beliau berkata, sebagai penaja utama tidak salah jika syarikatnya diberikan hak eksklusif untuk mengeluarkan produk TRW dengan jenama DSV.

Mengambil Manchester United sebagai contoh, Vida berkata, hasil penjualan jersi dan barangan rasmi kelab tersebut banyak membantu mengutip dana agar sentiasa up to date untuk pembangunan bola sepak.

“Mereka mempunyai penyokong yang ramai, jadi menerusi cara itu ia dapat menyumbang semula kepada pasukan. Oleh itu TRW perlu berani menerima penjenamaan semula ini,” katanya.

Dengan penjenamaan semula ini, Vida berkata, ia sedikit sebanyak mengubah suasana sukan bola sepak negara.

“Saya nak stadium pink ini cetus mood ceria kepada penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada TRW. Tiada lagi istilah bola sepak untuk lelaki kerana saya yakin kaum wanita pun akan datang memeriahkan stadium ini,” katanya.


Pada Rabu, Vida mendedahkan TRW akan menyarung jersi jenama DSV yang menampilkan rekaan serta kualiti bertaraf lapan bintang bagi menghadapi aksi Liga Malaysia musim ini.

Mengesahkan jenama Datuk Seri Vida (DSV) bakal menjadi jersi rasmi pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) bagi mengharungi Li­ga Malaysia (Liga M) musim 2016.

Malah, isu warna jersi yang sebelum ini menjadi pertikaian turut selesai selepas Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memutuskan untuk menggunakan warna merah serta merah jambu apabila beraksi di gelanggang keramat mereka, Stadium Sultan Muhammad IV.

Penaja utama PQPTRW, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida yang juga Penasihat Kehormat Kafa berkata, skuad kendalian K. Devan bakal menggunakan empat jersi yang dikeluarkan oleh syarikatnya melibatkan aksi di tempat sendiri dan gelanggang lawan sepanjang saingan 2016.

“Bagi aksi di Stadium Sultan Mu­hammad IV, kita akan guna warna merah dan merah jambu, bagi mengekalkan tradisi pasukan. Dalam perlawanan di tempat lawan, kita guna dua jersi dengan gabungan warna merah jambu dan hitam serta putih.

“Pasukan pereka yang dilantik sudah menyiapkan rekaan untuk kesemua jersi tersebut. Ketika ini, kita berdepan masalah untuk susun atur kedudukan setiap logo yang akan ada pada jersi itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, empat jersi tersebut akan dikeluarkan terlebih dulu pada Februari, manakala jersi eksklusif berwarna merah dan barangan rasmi pasukan bakal dilancarkan pada April depan.

Dr. Vida berkata, penyokong tidak perlu bimbang dengan kualiti jersi kerana ia setanding jenama bertaraf antarabangsa yang ada di pasaran ketika ini dan dihasilkan menggunakan kain berkualiti tinggi.

Dalam perkembangan lain, Dr Vida memberitahu, isu kontrak Kelantan bersama Nike yang berbaki setahun sudah diselesaikan secara baik dengan syarikat pengeluar, pengedar serta pembekal jenama berkenaan iaitu HORC Sports Sdn. Bhd.

Sementara itu, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya telah mendapat keizinan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menggunakan warna merah dan merah jambu sebagai jersi utama mereka.

Katanya, perkara itu juga turut dimaklumkan kepada pihak Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang menguruskan liga musim ini.

“Saya nak tegaskan untuk musim 2016 tiada ada istilah jersi nombor satu atau dua dan ramai orang salah faham tentang isu ini.

“Jersi tak payah daftar, tetapi yang perlu daftar adalah warna. Tujuannya bila pasukan lain datang, mereka tahu tuan rumah pakai warna apa.

“Warna jersi untuk tempat lawan kebiasaanya kita menggunakan warna biru. Mungkin musim ini kita akan pakai warna biru dan merah jambu seperti yang diminta oleh pihak penaja,” katanya kepada pemberita selepas tamat aksi persahabatan Kelantan menentang kelab Thailand, Yala FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini kelmarin.

Syarikat Vida Beauty akan bertindak sebagai pengeluar, pengedar dan pembekal rasmi jersi dan barangan TRW di bawah jenama DSV.

Comments

comments

, ,