Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Wang Kertas Bertaburan Atas Jalan Singapura, Milik Rakyat Malaysia

Laporan polis dibuat Jihad dan berita mengenai wang miliknya yang bertaburan di atas jalan raya.

TEKA-TEKI bagaimana wang kertas RM50 boleh melayang dan bertaburan atas Lebuhraya Bukit Timah Expressway (BKE), Singapura pada Isnin lalu akhirnya terjawab apabila pemilik wang tersebut tampil bercerita mengenainya.

Wang yang dikutip pengguna jalan raya itu sebenarnya adalah milik seorang pengurup wang yang merupakan rakyat Malaysia dari Skudai, Johor yang dikenali sebagai Jihad Dudden Shaik Ali Khan, 24.

Lebih mengejutkan, Jihad mendedahkan jumlah sebenar wang yang tercicir adalah RM150,000.

Menurut Jihad, ketika kejadian dia sedang menunggang motosikal dan tidak sedar zip beg yang disandangnya dan mengandungi sejumlah wang itu terbuka.

“Ketika kejadian pada 6.20 petang, saya sedang dalam perjalanan menunggang motosikal jenis Yamaha untuk berjumpa seorang pelanggan namun selepas tiba di Orchard Road saya dapati zip beg terbuka luas dan sebahagian wang hilang.

“Lima minit kemudian ayah menghubungi saya dan beritahu ternampak pengguna jalan raya mengutip wang yang bertaburan di atas jalan raya selain turut memaklumkan kemungkinan itu duit saya,” katanya.

Sejurus dimaklumkan ayahnya, Jihad segera kembali ke lokasi yang dilalui iaitu di sepanjang lebuh raya berkenaan dan terkejut apabila terlihat seorang lelaki mengutip wangnya yang bertaburan.

BACA: VIDEO Wang Kertas Malaysia Bertaburan Di Lebuh Raya Singapura


“Saya mendekati lelaki itu tetapi selepas ternampak saya dia terus melarikan diri dengan wang sebanyak RM200 daripada RM250 yang ada di atas jalan. Saya hanya sempat mengambil RM50 yang ditinggalkan lelaki terbabit,” katanya.

Dalam pada itu, Jihad yang baru bergelar suami dua bulan lalu akui peristiwa ini memberi pengajaran yang amat berharga buatnya.

“Apa pun saya reda dan benda ini sudah pun berlaku. Mungkin itu bukan rezeki sebaliknya saya percaya pasti ada hikmahnya,” katanya yang sudah tiga tahun menjadi pengurup wang.

Difahamkan, Jihad sudah membuat laporan polis di Singapura pada hari sama, jam 8.38 malam.

Insiden ini menjadi buah mulut selepas video not kertas RM50 melayang dan bertaburan di atas jalan raya dimuatnaik di Youtube.

VIDEO