Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Liga Bola Sepak Rakyat Beri Peluang Kepada Pemain Tercicir

DR. SHAMSUL ANWAR SULAIMAN (empat dari kanan) memberi penerangan KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) bakal diperkenalkan pada penghujung Ogos ini bagi memberi peluang kepada golo­ngan belia atau pemain yang selama ini tercicir dan gagal mendapat tempat dalam kancah bola sepak profesio­nal di negara ini.

Pengerusi LBR, Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman berkata, liga tersebut yang merupakan ilham Pre­siden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dijangka bermula 29 Ogos ini yang menyediakan platform untuk sukan No. 1 negara itu berkembang dengan lebih sistematik.

“LBR akan memberi peluang kepada pemain-pemain di bawah 28 tahun untuk mempamerkan bakat mereka yang mungkin sebelum ini terpinggir ataupun tercicir daripada perhatian pasukan negeri mahupun kelab bola sepak profesional di negara ini.

“Malah LBR turut berperanan bagi memperkasakan asas piramid kedua iaitu satu konsep baharu yang disarankan sendiri oleh FIFA, selain liga bola sepak profesional,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Tiga bekas pemain bola sepak kebangsaan, Lim Chan Yew, Asmawi Bakiri dan Stanley Bernard Samuel telah dilantik menjadi duta LBR dalam usaha memberikan soko­ngan kepada liga tersebut.

Menurut Dr. Shamsul, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal merasmikan liga tersebut di Pekan, Pahang pada 29 Ogos ini yang dijangka berlangsung selama enam bulan untuk musim pertama.

Jelasnya, pertandingan itu juga akan menggunakan format zon yang mana pasukan-pasukan daerah yang bertanding akan bersaing di zon masing-masing iaitu utara, tengah, pantai timur, selatan, Sabah dan Sarawak.

“Selepas pasukan-pasukan ber­tanding berentap sesama sendiri di peringkat zon dan berjaya melayakkan diri, mereka selepas itu bakal merentas sempadan pula untuk bersaing di peringkat seterusnya,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pasukan yang berjaya melangkah ke separuh akhir akan diberi RM25,000, manakala naib juara menggondol hadiah wang tunai RM75,000 dan juara meraih RM100,000.

Tambahnya, pemain yang berjaya menarik minat kelab ataupun pasukan negeri yang beraksi dalam Liga Super serta Liga Perdana akan dilepaskan daripada pasukan mereka.

Pemergian pemain berkenaan kemudian akan diganti dengan pemain baharu.

Utusan

,