Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Liabiliti skuad Harimau Malaya

10313455_871734306193939_5664263446250092371_nBOLA sepak kadangkala tidak adil malahan kejam, tetapi dalam konteks kejuaraan Piala AFF Suzuki 2014, hal seperti itu tidak berlaku kerana pasukan yang menjadi juara ialah pasukan yang terbaik iaitu Thailand.

Sepanjang kempen kali ini, Thailand hanya tewas sekali iaitu pada perlawanan akhir kedua kepada Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu pun dengan jaringan yang tipis 2-3.

Mereka menang semua perlawanan peringkat kumpulan iaitu 2-1 ke atas Singapura, 3-2 ke atas Malaysia, dan 2-0 ke atas Myanmar; seri 0-0 dan menang 3-0 ke atas Filipina pada aksi separuh akhir.

Bayangan kejuaraan kelihatan apabila mereka unggul dengan kemenangan 2-0 di Stadium Rajamangala di Bangkok dan terpatri apabila mereka mencuri dua gol daripada Malaysia dalam 10 minit yang terakhir pada 20 Disember lalu.

Dari segi statistik, pencapaian skuad Gajah Perang dianggap cemerlang apabila menang lima kali (71.4%), seri sekali (14.3%) dan kalah sekali (14.3%) serta mengumpul 14 jaringan dan bolos enam gol.

Kekejaman atau ketidakadilan berlaku jika Malaysia menjadi juara kerana skuad negara menang tiga kali (42.85%), seri sekali (14.30%) dan kalah tiga kali (42.85%) serta mengumpulkan 13 gol dan bolos 12 gol.

Pada aksi Kumpulan B, skuad negara seri 0-0 dengan Myanmar, tewas 2-3 kepada Thailand dan menang 3-1 ke atas Singapura; tewas 1-2 dan menang 4-2 ketika bertemu Vietman pada peringkat separuh akhir timbal balas; tewas 0-2 dan menang 3-2 bertemu Thailand pada perlawanan akhir kaedah yang sama.

Berdasarkan statistik, ternyata bahawa skuad bimbingan Dollah Salleh itu tewas kepada Thailand dalam semua aspek iaitu dari segi perbandingan jumlah kemenangan, kekalahan, jaringan dan dibolosi lawan.

Semua itu menggambarkan bahawa terdapat banyak perkara yang tidak kena dalam sistem bola sepak negara sehinggakan mereka gagal mendominasi peringkat Asia, apatah lagi Olimpik mahupun Piala Dunia.

Dengan perkataan yang lain, para peminat perlu mengakui bahawa banyak liabiliti mengancam keutuhan skuad Harimau Malaya dan perkara ini perlu dirincikan dengan minda yang terbuka!


Liabiliti

Apakah liabiliti yang dimaksudkan itu?

Pertama, bebanan kepada Harimau Malaya dapat dirasakan ekoran tindakan pihak pengurusan pasukan, khususnya ketua jurulatih memilih pemain dalam skuad kali ini dan kesebelasan utama.

Tidak timbul niat memperlekeh kredibiliti Dollah Salleh apatah lagi menafikan hak eksklusifnya kerana sebagai jurulatih, beliau yang paling berhak membuat keputusan.

Mungkin Dollah akan berkata bahawa ‘beliau lebih arif dan lebih mengenali pemainnya’, namun keputusannya itu menjadi buah mulut sehingga ada peminat mengatakan beliau gagal dalam aspek ini.

Pada pandangan saya sebagai peminat dan pemerhati bola sepak di Malaysia, tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa masih ramai pemain yang mampu beraksi lebih menyerlah jika diberi peluang.

Satu daripada beberapa nama yang mungkin boleh dianggap terlepas daripada perhatian Dollah dan panel pemilihan pemain ialah Brendan Gan, Junior Eldstal ataupun Wan Zaharulnizam.

Dalam pada itu, ada beberapa pemain yang sedikit berumur turut dipilih menganggotai skuad kebangsaan namun mereka dibiarkan terperap di bangku simpanan.

Bukti yang jelas ialah apa-apa yang berlaku kepada Indra Putra Mahayuddin dan Manaf Mamat!

Dalam semua perlawanan dalam konteks yang kita bincangkan ini mereka tidak diberi peluang membarisi kesebelasan utama tetapi lihatlah betapa besar impak yang mereka hasilkan apabila beraksi.

Pada perlawanan menentang Vietnam di Shah Alam, Indra Putra masuk pada minit ke-71 setelah Safee Sali kelihatan hilang ilham untuk merobek gawang lawan pada perlawanan yang tegang.

Biarpun hanya beraksi 24 minit termasuk lima minit waktu kecederaan, beliau membuktikan dirinya berbisa dan tandukannya pada minit-minit akhir nyaris menghasilkan gol penyamaan.

Jelaslah bahawa Harimau Malaya masih memerlukan pemain tulen seperti Indra Putra biarpun beliau dilabel kuda tua sebagaimana Manaf Mamat yang masuk menggantikan Norshahrul Idlan Talaha.

Dalam hal ini, lebih baik kita memperjudikan nasib kepada pemain “low profile” seperti mereka daripada mengutamakan nama agung dan reputasi silam tetapi gagal memberi impak yang besar.

Kegagalan Dollah dalam aspek pemilihan dan penyenaraian pemain turut berlaku pada posisi lain, terutama dalam aksi menentang Vietnam di Shah Alam dan menentang Thailand selepas itu.

Walaupun dimasukkan sebagai pemain utama untuk semua perlawanan, sumbangan Azamuddin tetap menjadi persoalan. Boleh dikatakan tiada langsung hantaran lintang yg berkesan yang berjaya dilakukan oleh beliau.

Kesilapan

Peminat percaya bahawa Dollah berbuat silap menyenaraikan S. Kunanlan pada posisi sayap kanan dan Hafiz Kamal!

Dalam perlawanan itu, Kunanlan ternyata banyak kali melakukan kesilapan ketika melakukan hantaran selain kelihatan kebuntuan idea untuk bergerak memecahkan kubu Vietnam.

Hafiz Kamal pula kurang sesuai disenaraikan ketika bertemu pasukan yang bermain agresif dan laju seperti Vietnam sebaliknya sesuai jika disenaraikan bertemu pasukan seperti Filipina.

Jika bukan Hafiz Kamal, siapa pula pemain yang sewajarnya dibawa masuk menggantikan Shukor Adan pada perlawanan menentang Vietnam di Shah Alam?

Jawapannya ialah Baddrol Bakhtiar! Pemain ini mempunyai keupayaan membina jalur serangan dan pada masa yang sama memiliki sedikit keupayaan membantu bahagian pertahanan.

Kesilapan itu dibaiki oleh Dollah apabila meletakkan Kunanlan pada posisi pertahanan kanan pada kedua-dua aksi final dan memberi ruang kepada Indra Putra bermain dalam kesebelasan utama.

Malangnya, Dollah masih memilih Safee terutama pada 20 Disember lalu sedangkan bekas bintang itu banyak melepaskan peluang termasuklah peluang keemasan pada separuh masa kedua.

Prestasi Safee mengecewakan kerana seperti Norshahrul, dia hanya menjaringkan satu gol sepanjang kempen AFF Suzuki kali ini dan dua perlawanan pemanas badan.

Sepatutnya, yang menggantikan Azamuddin Akil yang tercedera ialah Baddrol kerana pemain itu lebih ‘versatile’ serta mempunyai daya opportunis pada saat-saat yang sangat diperlukan.

Baddrol Bakhtiar

Baddrol Bakhtiar berjaya mencuri tumpuan dengan percubaan yang menarik dan hantaran cantik kepada Indra Putra walaupun hanya dimasukkan pada min ke 80 ketika bertemu Thailand di Bangkok

Kesilapan turut berlaku dalam penyenaraian pemain bahagian belakang apabila Muslim Ahmad diberi tanggungjawab menjadi “last man” sedangkan beliau agak lambat berpusing jika diserang balas.

Dalam konteks menentang Vietnam di Shah Alam, tempat itu wajar diberi kepada Mohd. Afif Amiruddin yang kelihatan lebih fokus dan lebih tangkas.

Tidakkah Dollah telah menyaksikan kemampuan pemain PDRM itu pada perlawanan pertama Kumpulan B ketika pasukan negara kita beraksi sepuluh orang menentang Myanmar?

Dalam perlawanan itu Afif bukan setakat menyelamatkan banyak percubaan Myanmar, malahan turut mengancam gawang lawan ketika pasukan negara memperoleh sepakan sudut pada minit akhir.

Dollah kembali menyenaraikan Afif pada 20 Disember, tetapi apabila pemain itu cedera, Muslim sepatutnya masuk bersama-sama seorang pemain pertahanan lain dan mengeluarkan Safee.

Langkah memasukkan lebih banyak pertahanan wajib kerana ketika itu kita masih bermodal 3-0 tetapi hebat diserang dan Muslim gagal beraksi sebaik Afif yang cepat membaca pergerakan lawan.

Formasi

Liabiliti kedua berlaku dari aspek pemilihan formasi. Dalam hal ini kita sedia maklum bahawa 4-4-2 merupakan formasi standard untuk menyeimbangkan gerakan menyerang dan bertahan.

Sungguhpun demikian, dengan menggunakan dua penyerang yang tumpul seperti yang berlaku sebelum ini, tentu beban itu terpaksa dipikul oleh barisan tengah iaitu dua sayap dan dua midfielder.

Apabila Safee dan Norshahrul gagal menguasai bola dan memberi ancaman ke atas barisan tengah dan benteng lawan maka kewujudan mereka seolah-olah tidak berlaku.

Pemain tengah terpaksa memikul tugas sebagai penyerang secara berterusan dan hal ini pasti memberi impak besar terhadap penggunaan tenaga kerana mereka beraksi dalam dua posisi.

Maka itu, penggunaan formasi 4-4-2 oleh Dollah Salleh seolah-olah hanyalah wujud atas kertas.

Yang berlaku di padang pula formasi yang kita gunakan sebenarnya 4-4-0! Aneh bukan?

Hakikatnya dalam beberapa perlawanan yang lalu kita hanya beraksi dengan sembilan pemain termasuk penjaga gol dan lapan pemain sahaja ketika menentang Myanmar pada perlawanan pertama Kumpulan B.

Ungkapan ini mungkin sinis; mengguris hati pihak tertentu namun ubat yang baik tentulah yang pahit dan pembedahan yang pastinya melukakan tubuh perlu dilakukan demi menyembuhkan pesakit.

Lantaran itu, jika mahu terus menggunakan formasi ini, pilihlah pemain serangan yang berfungsi dan sekiranya mereka gagal memecahkan benteng lawan, tukarlah mereka tanpa teragak-agak lagi.

Satu lagi liabiliti pasukan bola sepak negara kita dapat dinilai dari segi teknik dan strategi. Dalam hal ini, strategi serangan dan bertahan pasukan kita sangat mudah dibaca; kata orang, stereotaip. Tidak kelihatan corak permainan yang bervariasi kecuali pada minit pertama hingga sekitar minit ke-30 ketika kita menentang Vietnam pada perlawanan pertama saingan separuh akhir.

Pada 30 minit pertama, Vietnam tenggelam tetapi mereka mula mempelbagaikan gerakan iaitu menyerang dalam pelbagai kombinasi dari tengah, gerakan satu dua, dan hantaran terus yang tepat. Mereka menggunakan hantaran terus jarak jauh, ground cross, float cross, flank pass, spear head dan counter and re-counter attack sehingga membunuh keyakinan Harimau Malaya.

Inilah kunci kemenangan mereka dan inilah antara faktor besar kekalahan kita pada hari itu! Satu lagi kebijaksanaan Vietnam yang perlu kita contohi ialah mereka tahu bahawa “untuk mempertahankan kubu sendiri, mereka perlu menyerang kubu pihak lawan secara berterusan”.

Atas kepintaran itu, Vitenam menang di gelanggang lawan dan pulang ke negara mereka dengan bekalan yang selesa serta moral yang tinggi namun keajaiban berlaku di Hanoi dan kita menang 4-2.

Begitu banyak liabiliti skuad negara kita. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu buka mata. Aspek kemahiran individu merupakan satu lagi liabiliti besar yang membelenggu skuad Harimau Malaya pada masa kini yang memerlukan perhatian serius oleh sesiapapun yang menjadi jurulatih.

Hingga kini tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa jurulatih masih lagi gagal memanfaatkan kemahiran individu pemain tertentu yang memiliki sedikit kelebihan bakat berbanding pemain yang lain.

Kemahiran individu

Pada dasarnya, ada dalam kalangan pemain Malaysia yang bertanding dalam kempen AFF Suzuki 2014 ini memiliki kemahiran individu seperti kebolehan melakukan jaringan melalui sepakan percuma. Safiq Rahim, umpamanya, pernah memperlihatkan bisanya dari aspek ini bukan setakat dalam liga bola

sepak domestik malahan dalam perlawanan persahabatan dengan Liverpool pada 16 Julai 2011.


Mohd. Badri Radzi juga memiliki kebolehan aspek yang sama namun sejauh manakah Dollah berusaha mempertajam keupayaan individu dua pemain itu dalam saingan AFF Suzuki kali ini? Badri bukan sahaja tidak berpeluang mengambil sepakan percuma malahan setakat aksi separuh akhir pertama di Shah Alam 7 Disember lalu beliau hanya berada di bangku simpanan. Timbul tanda tanya, adakah jurulatih mengekploitasi sepenuhnya kemahiran individu pemain-pemain pilihannya seperti mempertajam kemahiran menggelecek yang dimiliki Gary Steven Robbat? Juga, adakah jurulatih membuat latihan secukupnya dari segi setpiece sepakan percuma terus, sepakan percuma tidak terus, sepakan penjuru, dan lontaran ke dalam berhampiran gawang lawan? Ketika Harimau Malaya dikendalikan Datuk K. Rajagopal, Aidil Zafuan Radzak yang menjadi satu daripada sumber kekuatan dianggap mempunyai kemampuan mengambil sepakan percuma terus. Malangnya, kemampuan itu dibiarkan berterusan secara semula jadi iaitu tidak diasah secara intensif dan hal yang demikian mungkin berlaku kepada Safiq serta Badri Radzi pada kali ini. – Kosmo Video aksi di Bangkok – Lihat bagaimana aksi Baddrol 

Video Aksi sepakan Safee Sali yang sepatutnya memberi kemenangan Piala kepada negara di Bukit Jalil

, , ,