Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Hanya Tinggal Mahali, Dollah Pertaruhkan Kunanlan, Alex

Jurulatih negara Dollah Salleh bakal menjadikan S. Kunanlan dan Azamuddin Akil sebagai bidan terjun untuk posisi pertahanan kanan skuad Harimau Malaya pada kejohanan Piala Suzuki AFF.

Pengguguran Aidil Zafuan Abdul Radzak ekoran kecederaan paling memberi kesan kepada percaturan Dollah.

Apa tidaknya, ketiadaan Aidil menyaksikan skuad negara hanya miliki Mahali Jasuli sebagai pertahanan kanan tulen.

Justeru, Dollah tiada pilihan selain mencari calon lain sebagai pelan B jika sesuatu berlaku ke atas Mahali di kejohanan AFF nanti. Dan kini, nama Kunanlan dan Azamuddin disebut-sebut untuk perancangan itu.

Krisis di bahagian pertahanan bagaimanapun sedikit reda dengan khabar gembira Muslim Ahmad dibenarkan beraksi pada kejohanan itu.


Muslim yang menerima kad merah dalam perlawanan persahabatan menentang Vietnam pada 16 November lalu hanya perlu menjalani penggantungan dua perlawanan dalam aksi persahabatan seterusnya selepas hukuman itu tidak tertakluk kepada kejohanan kompetitif.

Bagi Kunanlan, 28, posisi pertahanan kanan bukanlah sesuatu yang baru kerana pernah diberikan peranan itu ketika bersama Selangor.

“Saya kena bersedia bermain di posisi itu kerana Aidil cedera. Bagi saya tiada masalah bermain di pertahanan kanan. Bersama Selangor saya juga bermain di posisi itu dalam banyak perlawanan.

“Saya ada pengalaman bermain di pertahanan kanan termasuk dalam perlawanan Piala AFC,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan Harimau Malaya semalam.

Kunanlan antara tonggak skuad kebangsaan ketika memenangi Piala AFF 2010 namun ketika itu pemain kelahiran Semenyih, Selangor itu lebih mengancam di bahagian sayap kiri dengan kepantasan dan kelincahan dimilikinya.

Menurut Kunanlan yang bakal beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) musim depan, dia yakin pasukan kali ini mampu memberikan aksi lebih baik berbanding dua tahun lalu apabila terkandas di separuh akhir.

“Ini kejohanan Piala AFF ketiga bagi saya. Kita tidak ada tekanan cuma perlu berikan komitmen 100 peratus. Ramai pemain sama dalam pasukan kali ini dan kita sudah tahu antara satu sama lain. Pasukan kali ini mempunyai jurulatih baru dan kami mahu buktikan,” katanya.


Sementara itu, bekas jurulatih negara Abdul Rahman Ibrahim bersimpati dengan nasib Dollah yang terus diberi tekanan di saat sokongan moral diperlukan bagi menghadapi Piala Suzuki AFF.

Malah, Abdul Rahman turut menegaskan tindakan menghukum Dollah jika gagal pada kejohanan itu sebagai tidak wajar.

Pandangan sama turut disuarakan seorang lagi bekas pengendali skuad kebangsaan B. Sathianathan yang berasakan Dollah wajar diberi masa dan peluang.

Ikuti aksi Piala Suzuki AFF secara streaming menerusi web www.bptvstream.com

, , ,