Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Dollah Salleh Berjanji Lagi, Singapura Anggap Menentang “Haiwan Liar’

DOLLAH SALLEH (kiri) dan Bernd Stange bersalaman pada sidang akhbar JURULATIH Harimau Malaya, Dollah Salleh kekal optimis bahawa skuad kendaliannya memiliki keupayaan untuk melakarkan kejutan pada pertembungan hangat menentang Singapura dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional, Singapura malam ini.

Umum mengetahui bahawa skuad negara memerlukan tiga mata untuk layak ke pusingan separuh akhir selepas sekadar meraih satu mata ketika seri tanpa jaringan bertemu Myanmar dan tewas 2-3 kepada Thailand dalam peringkat kumpulan pada 23 dan 26 November lalu.

Bagaimanapun, Dollah tenang dan yakin bahawa juara edisi 2010 itu masih memiliki peluang cerah untuk melepasi peringkat kumpulan ketika berdepan Singapura yang sekadar memerlukan satu mata untuk mengiringi Thailand yang telah layak beraksi di pusingan separuh akhir.

Jelas bekas pengendali Pahang, Selangor dan Polis Diraja Malaysia yang berusia 51 tahun itu, beliau yakin skuad Harimau Malaya akan mempamerkan prestasi lebih positif ketika tewas dengan Thailand dalam pertemuan tradisi menentang Singapura nanti.

“Sudah tentu kami akan memandang ke hadapan ketika menentang Singapura (hari ini) dan kami akan mencuba memberikan sesuatu kepada rakyat Malaysia.

“Kami memerlukan kemenangan untuk memastikan kami layak (ke pusingan separuh akhir) dan saya percaya ia bukan satu tugas yang mudah kerana kami akan menentang Singapura di depan 30,000 penyokong mereka.


“Namun, kami akan memberikan persembahan terbaik selain memastikan satu perkara baharu berlaku untuk skuad kami nanti,” katanya pada sidang akhbar di Hotel M, Jalan Besar semalam.

Dalam perkembangan sama, Dollah kekal menaruh keyakinan terhadap bekas penyerang Johor Darul Takzim yang akan menyertai Angkatan Tentera Malaysia pada musim depan, Norshahrul Idlan Talaha untuk menjadi sandaran utama skuad negara merobek gawang Singapura nanti.

Dalam dua aksi lalu, Norshahrul yang lebih dikenali sebagai ‘Mat Yo’, dilihat gagal mengulangi prestasi terbaik sebagaimana dia gagal menamatkan permainan selama 90 minit apabila digantikan dengan Safee Sali (ketika menentang Myanmar) dan Abdul Manaf Mamat pada pertemuan menentang Thailand, berbaki 15 dan 20 minit terakhir perlawanan.

Begitupun, Dollah menegaskan bahawa Mat Yo sudah bersedia untuk mempamerkan persembahan lebih baik dan beliau percaya pemain kelahiran Besut, Terengganu itu akan lebih selesa beraksi di atas rumput asli berbanding tiruan.

“Dia tidak biasa beraksi di atas padang rumput tiruan tetapi saya percaya dia masih belum mempamerkan prestasi baik lagi sepanjang dua perlawanan lalu.

“Namun, saya mengetahui kebolehannya dan percaya dia masih boleh melakukan sesuatu.


“Meskipun sebelum ini saya memberikan kenyataan bahawa dia kurang bagus (ketika menentang Thailand dan Myanmar) tetapi dia berjanji kepada saya untuk melakukan sesuatu pada aksi menentang Singapura nanti,” katanya. Sementara itu Pengendali Singapura dari Jerman berkata, pasukannya harus berwaspada dengan kejutan yang bakal ditampilkan Harimau Malaya.

Enggan mengambil sikap terlalu yakin, Stange yang pernah mengendalikan skuad kebangsaan Belarus juga menambah, pasukan kendalian Dollah Salleh pasti mahu mencalar maruah Singapura di hadapan 55,000 penyokong sendiri.

Saksikan semua perlawanan AFF Suzuki Cup 2014 secara streaming di sini

“Pertembungan esok (hari ini) penting buat kedua-dua pasukan dan saya juga menghormati kemampuan Malaysia. “Apa yang boleh saya katakan, Malaysia ibarat haiwan liar yang terluka selepas sering kalah dalam aksi persahabatan dan gagal menyerlah dalam kejohanan ini. “Mereka pasti mahu bangkit dan situasi itu boleh membahayakan kami dalam perlawanan esok. Saya sama sekali tidak akan ambil mudah,” kata Stange.

, , ,