Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Pemain Selangor sudah nikmati bonus RM1 juta

f19a6827-d928-49ab-b385-4b6a05389928KUALA LUMPUR – Bukan tidak mahu beri namun tertangguh atas faktor teknikal, itu jawapan yang diberikan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) terhadap dakwaan bonus atas kejayaan melayakkan diri ke suku akhir Piala Malaysia sebanyak RM20,000 yang masih belum diberikan kepada para pemain.

Berdasarkan salah satu sumber daripada FAS yang enggan mendedahkan namanya, segelintir para pemain Selangor dilihat seperti terlalu manja sambil seolah-olah terlupa pemberian bonus yang mereka nikmati selama ini, malah turut mendapat imbuhan biarpun hanya mencatat keputusan seri.

Sumber itu turut menyatakan hampir RM1 juta bonus telah diberikan kepada para pemain sepanjang tahun ini dan mengakui dia berasa kecewa jika alasan bonus RM20,000 yang lewat dibayar menjadi punca mengapa The Red Giants sanggup menggadai maruah dengan tewas 0-4 kepada pasukan yang beraksi di Liga Perdana, Felda United.


“FAS sama sekali tidak berniat untuk tidak memberikan bonus RM20,000 berkenaan, cuma ia tertangguh buat seketika atas faktor-faktor teknikal dan mereka akan dapat juga bonus berkenaan nanti bila sampai masanya.

“Setakat hari ini, FAS telah membayar hampir RM1 juta bonus kepada pemain dan itu tidak termasuk RM400,000, wang kemenangan atas berjaya muncul naib juara Liga Super yang telah diagihkan dalam kalangan pemain.

“Di sini saya harap semua pihak dapat membuat penilaian sejauh mana kebajikan para pemain Selangor telah dijaga oleh FAS selama ini dan perlu atau tidak unsur-unsur sabotaj sebegini perlu ada dalam pasukan?

“Perlu atau tidak, hanya satu pemberian bonus yang lambat maka maruah pasukan digadaikan begitu sahaja dan mereka yang terlibat patut berasa malu dengan para penyokong setia Selangor yang telah menghabiskan masa, wang dan tenaga turun ke Stadium Shah Alam,” jelas sumber berkenaan ketika menghubungi Utusan Malaysia, semalam.

Tambah sumber berkenaan, para pemain Selangor tidak pernah lewat mendapat gaji yang ditetapkan iaitu sebelum 7 haribulan, malah Timbalan Presiden FAS, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad sentiasa memastikan gaji pemain akan diberikan antara 28 haribulan hingga 5 haribulan.

“Para pemain sepatutnya bersyukur kerana soal gaji mereka sering kali tidak bermasalah seperti mana yang dihadapi sesetengah pasukan lain dan FAS sentiasa memastikan gaji yang diterima mereka sentiasa mengikut masa yang ditetapkan.

“Apa yang berlaku pada masa sekarang menjadi satu hikmah tersendiri buat Selangor dalam menilai siapa pemain yang ada kesungguhan dan siapa pula yang tidak bagi komitmen bersama pasukan pada musim hadapan,” katanya.


Laporan Utusan Malaysia, semalam menyatakan terdapat sesetengah pemain gagal menampilkan persembahan sebenar apabila pemberian bonus sebanyak RM20,000 yang dijanjikan selepas melayakkan diri ke saingan suku akhir Piala Malaysia masih belum dilunaskan.

Situasi tersebut menyebabkan moral mereka kurang bersemangat sebelum menghadapi Felda United, baru-baru ini yang menyebabkan Selangor dibelasah 0-4 oleh naib juara Liga Perdana itu.

, ,