Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Harimau Malaya tetap sasar final Piala AFF

su_01.1ATAS kertas, skuad Harimau Malaya dilihat meniti laluan penuh berliku apabila diundi berada dalam ‘kumpulan maut’ pada kempen Piala Suzuki AFF 2014 yang akan membuka tirainya penghujung tahun ini.

Pada majlis undian di Hotel Sheraton, Hanoi, Vietnam semalam, Harimau Malaya yang kini dibimbing Dollah Salleh telah diundi bersama tuan rumah yang juga juara bertahan, Singapura dalam Kumpulan B.

Lebih perit, Thailand yang mengecewakan Harimau Malaya pada peringkat separuh akhir edisi 2012 juga diundi dalam kumpulan yang sama kali ini selain ancaman juara pusingan kelayakan yang dijangka diisi Myanmar.

Namun, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin tetap tidak berganjak dengan sasaran awal badan induk itu untuk sekurang-kurangnya menempah pentas final pada kempen kali ini.

“Kekuatan kesemua pasukan di rantau Asia Tenggara dilihat seimbang dan hampir sama, jadi tidak timbul istilah ‘kumpulan maut’.

“Jadi, misi ke final tetap menjadi sasaran utama. Kami tidak akan berganjak meletakkan sasaran yang lebih rendah biarpun diundi bersama Singapura, Thailand dan juga juara kumpulan kelayakan pada kempen kali ini,” katanya kepada Kosmo! semasa dihubungi di Hanoi semalam.

Hamidin juga menegaskan bahawa harapan kesemua rakyat Malaysia tidak sewajarnya diletakkan di bahu Dollah semata-mata menyedari persiapan Harimau Malaya yang tampak begitu singkat berbanding pasukan lain.

“Kita tidak boleh mengambil mudah dan perlu memberikan yang terbaik bermula sekarang.

“Harapan tidak boleh diletakkan ke atas Dollah seorang, sebaliknya kesemua pihak termasuk pemain dan persatuan negeri juga harus memainkan peranan bagi memastikan objektif ke final tercapai,” jelas beliau.

Hamidin memberitahu, diundi dalam Kumpulan B juga boleh dianggap satu hikmah buat Harimau Malaya apabila bakal mengharungi saingan peringkat kumpulan di Stadium Nasional, Singapura yang berkapasiti 55,000 penonton.

“Berbanding beraksi di Vietnam, beraksi di Singapura juga dianggap satu kelebihan buat skuad negara.

“Ini kerana, penyokong lebih mudah ke sana (Singapura) berbanding Vietnam setiap kali aksi membabitkan skuad kebangsaan bagi menyuntik moral dan semangat pemain dalam kempen kali ini.

“Jadi, kami (FAM) akan mengusahakan perkara itu (rombongan penyokong ke Singapura) sebaik mengenal pasti jadual perlawanan peringkat kumpulan yang membabitkan skuad kebangsaan kelak,” jelas beliau.

Pada kempen kali ini, Harimau Malaya bakal membuka tirai Kumpulan B berdepan juara pusingan kelayakan yang dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 29 November depan.

Aksi Kumpulan A pula melibatkan tuan rumah bersama yang juga juara edisi 2008 – Vietnam bersama Filipina, Indonesia dan naib juara peringkat kelayakan.

Aksi separuh akhir pertama dijadualkan pada 6 dan 7 Disember manakala perlawanan separuh akhir kedua pula bakal berlangsung pada 10 dan 11 Disember.

Final pertama dan kedua juga masing-masing dijadualkan berlangsung pada 17 dan 20 Disember.

Namun, pusingan kelayakan Piala Suzuki AFF terlebih dulu akan berlangsung di Laos dari 12 hingga 20 Oktober yang membabitkan tuan rumah bersama Myanmar, Kemboja, Timor Leste dan Brunei.

, ,