Badi penalti hantui England

_75288661_75287277LONDON – Ketua pasukan England, Steven Gerrard menegaskan, dia tidak bimbang dengan prospek pasukannya terpaksa beraksi dalam penentuan sepakan penalti pada Piala Dunia nanti, meskipun The Three Lions sering dihambat badi penalti.

England disingkirkan me­nerusi penalti pada Piala Du­nia 1990, 1998 dan 2006, malah turut kecundang dengan cara yang sama pada Kejohanan Eropah (Euro) 1996, 2004 dan 2012.

Bintang tengah Liverpool itu antara pemain yang berjaya meledak gol ketika England disingkirkan oleh Itali menerusi penentuan penalti pada Euro 2012.

Bagaimanapun sepakannya pada Piala Dunia 2006 berjaya diselamatkan penjaga gol Portugal ketika pasukan itu tersingkir di peringkat suku akhir

Penentuan sepakan penalti telah menjadi sesuatu yang menghantui peminat bola sepak England sejak sekian lama, namun Gerrard dan rakan-rakan sepasukan enggan terlalu obses tentang situasi itu.

“Sukar hendak menggambarkan bagaimana keadaannya ketika itu.

“Malang buat saya kerana pernah gagal dalam situasi tersebut ketika mengambil sepakan penalti pada Piala Dunia. Suasananya sangat sukar untuk ditangani.

“Saya telah belajar daripada kesilapan dan apabila diminta mengambil sepakan sekali lagi dua tahun lalu, saya berjaya menyempurnakannya. Kami akan melakukan latihan mengambil penalti sebanyak mungkin, tetapi apabila tiba situasi sebenar keadaan tidak sama dan ia sukar untuk digambarkan.

“Banyak tekanan dipikul di bahu. Anda kena fikir banyak kali sebelum mengambil sepakan, anda sentiasa fikir apa kemungkinan yang akan berlaku.

“Saya boleh memahami kebimbangan penyokong England kerana kami telah beberapa kali gagal dalam ujian ini, namun saya ingin menegaskan kepada mereka bahawa saya tidak akan terbawa-bawa dengan kisah hitam kami.

“Saya juga berharap, pemain-pemain kami dapat memberikan aksi terbaik dalam tempoh 90 minit atau 120 minit perlawanan untuk mengelak tendangan penalti, namun sekiranya situasi itu datang tanpa dapat dielak, kali ini kami pasti lebih bersedia,” ujar Gerrard lagi.

Sementara itu, kedudukan penyerang England, Wayne Rooney dalam skuad Piala Dunia tidak menentu selepas jurulatih, Roy Hodgson menurunkannya di posisi sayap kiri dalam aksi persahabatan menentang Ecuador. – AFP

Comments

comments

, ,