Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Sukar wujud pengadil pro – Hamidin

Datuk-Hamidin-Mohd-Amin (1)Kuala Lumpur: Dengan pelbagai kekangan yang dihadapi termasuk faktor kewangan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum berhasrat untuk mewujudkan pengadil profesional pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) untuk tempoh terdekat ini.

Apa pun, badan induk itu tetap melakukan langkah penambahbaikan apabila memutuskan menambah dua pembantu pengadil lagi yang akan diletakkan berdekatan pintu gol dalam setiap perlawanan.

Selain itu, semua pengadil yang bertugas turut dibekalkan dengan alat komunikasi seperti dilaksanakan di Eropah terutama di Liga Perdana Inggeris (EPL), mulai saingan Piala Malaysia musim ini.

Kos tinggi

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata agak sukar untuk mewujudkan pengadil profesional di Liga-M kerana ia membabitkan kos yang cukup tinggi.

Justeru, katanya FAM akan meneruskan cadangan memperkenalkan khidmat dua pembantu pengadil yang diletakkan berdekatan pintu gol dalam setiap perlawanan dan penggunaan alat komunikasi membabitkan pengadil yang bertugas.

“Untuk pembantu pengadil dan penggunaan alat komunikasi ini, ia membabitkan kos yang cukup tinggi. Ini tidak termasuk elaun tambahan dua pengadil terbabit dan kos pembelian alat komunikasi yang dianggarkan membabitkan RM1 juta,” katanya. – BH

,