Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Peminat Tidak Boleh Lagi Menghukum The Red Warriors – Azman Ibrahim


KOTA BAHARU, 16 Feb (Bernama) — Dengan tiga kemenangan daripada lima perlawanan Liga Super setakat Sabtu malam, peminat The Red Warriors tidak lagi boleh menghukum pasukan tersebut dengan pelbagai tuduhan tidak berasas, demikian menurut pengurus pasukannya Azman Ibrahim.

Kelantan menewaskan T-Team 3-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV Sabtu malam dan kini menduduki tangga ketiga liga.

Beliau berkata kesebelasan utama The Red Warriors kini telah membina satu persefahaman yang baik ketika beraksi di atas padang selepas melalui beberapa siri perlawanan sejak bulan lepas.

“Kita tengok Kelantan ke arah yang lebih baik daripada segi persefahaman di antara mereka dan beberapa pemain seperti Wan Zaharulnizam (Wan Zakaria) dan Apek (Khairul Fahmi Che Mat) telah menunjukkan prestasi cemerlang mereka pada perlawanan malam tadi.

“Kita akan bertemu beberapa pasukan yang kuat seperti Pahang dan ATM. Kita tak boleh leka dan kalau prestasi seperti ini terus dikekalkan, insya-Allah kita akan memburu kejayaan,” katanya.

Peminat The Red Warriors merasa cemas dan kecewa dengan prestasi hambar pasukan bimbingan Steve Darby ini dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Menurut Azman, penyokong perlu mengakui tentang perubahan formasi pasukan yang diterap Darby, di samping kesungguhan pemain yang membawa kemenangan kepada The Red Warriors setakat ini.

— BERNAMA

, ,