Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Chong Wei mahu ranapkan China satu persatu

KUALA LUMPUR – Bukan bongkak tetapi demi maruah, itulah impian Datuk Lee Chong Wei yang mahu menumbangkan wakil dari China satu demi satu di Siri Super Premier Terbuka Malaysia seperti yang dilakukan semalam di pusingan kedua menewaskan Wang Zhengming.

Pemain No. 1 dunia yang diletakkan sebagai pemain pilihan utama, tidak mempunyai masalah untuk menumbangkan Zhengming 21-17, 21-18 dalam tempoh 42 minit dan dilihat berada di landasan terbaik mempertahan kejuaraan yang telah dimenanginya sebelum ini sebanyak sembilan kali.

“Kita tahu China mempunyai ramai wakil di kejohanan ini, saya tidak kisah walaupun seorang tetapi saya akan melawan semua wakil mereka,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan tamat semalam di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Jelasnya, dia tidak kisah siapa pemain lawan kerana dia hanya fokus dan sentiasa tenang serta memikirkan tentang permainannya sendiri.

“Saya tidak kisah kalau bertemu pemain China sehingga ke rubber-set apa yang penting saya boleh tahan, memang sukar untuk melawan dengan mereka tetapi untuk memenangi kejuaraan ini saya harus kalahkan mereka satu persatu.

“Mungkin saya akan bertemu Chen Long lagi di perlawanan akhir tetapi saya harus mempertahankan gelaran Terbuka Malaysia ini. Hari ini bukan permainan terbaik saya, tetapi yang penting saya menang. Esok (hari ini) saya perlu lebih fokus,” katanya.

Chong Wei akan menentang pemain China, Du Pengyu pada suku akhir hari ini.

Sementara itu, ditanya desas-desus mengenai Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenny Goh sudah menyerah surat peletakkan jawatan, Chong Wei berkata, dia ada dengar mengenai berita tersebut dan berasa kecewa.

“Dia seorang yang bagus kerana masa saya remaja dulu dia seperti guru besar di Sri Garden, apabila saya senior dia menjadi Pengurus Besar kami, segala tugas yang dilakukannya berjalan lancar.

“Bagaimanapun saya harap dia kembali semula, saya kecewa kerana selama ini dia menjaga kami seperti anak sendiri, segala masalah yang kami lontarkan cuba diselesaikan, namun apa boleh buat sebagai pemain kita tidak boleh buat apa,” katanya.- Utusan

,