Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Saya tiada hak buat kenyataan – Rajagobal

SEDAR atau tidak, hari ini merupakan hari terakhir Datuk K. Rajagobal memegang status sebagai pengendali skuad Harimau Malaya apabila kontraknya tidak lagi disambung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Begitupun, sejak beberapa bulan lalu, terdapat begitu banyak spekulasi siapa calon paling layak menggantikan tempatnya.

Ramai juga yang menyifatkan sudah tiba masanya penyandang ‘kerusi panas’ itu wajar diambil alih jurulatih asing selepas kali terakhir Malaysia menerima sentuhan luar di bawah kendalian Bertalan Bisckei selama dua tahun bermula 2004.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini juga mengesahkan jurulatih kelahiran Perancis, Phillippe Omar Troussier sebagai antara calon hangat bagi menggantikan Rajagobal.

Namun, Rajagobal memiliki alasan tersendiri mengapa beliau enggan campur tangan mengenai pengganti yang lebih layak menggantikan beliau.

“Saya tak nak komen… saya bukan lagi jurulatih Harimau Malaya… jadi saya tidak berhak mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Siapa yang paling layak menjadi jurulatih Harimau Malaya selepas ini, terpulang kepada FAM,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sejak dilantik pada April 2009, Rajagobal muncul antara jurulatih yang memiliki resume cemerlang rentetan kejayaan menamatkan kemarau pingat emas Sukan SEA 2009 selain muncul juara Piala Suzuki AFF setahun kemudian.

Namun, kredibiliti Rajagobal mula dikecam peminat fanatik tempatan lantaran gagal melakar kejayaan yang lebih besar selepas itu.

‘Pintu’ ke Piala Asia 2015 yang seolah-olah tertutup rapat ekoran Harimau Malaya hanya menduduki tangga ketiga Kumpulan D dengan empat mata meskipun masih memiliki satu lagi perlawanan menentang Yemen pada Mac tahun depan, juga bagaikan titik noktah buat Rajagobal apabila kontraknya disahkan tidak lagi disambung FAM pada penghujung November lalu.

Sebaliknya, FAM membuat keputusan melantik pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee sebagai jurulatih sementara Harimau Malaya.

“Buat masa ini, saya hanya mahu berehat seketika daripada bola sepak.

“Biarlah masa yang menentukan bila saya akan kembali mengendalikan mana-mana pasukan selepas ini,” jelas Rajagobal. – kosmo

, ,