Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Rodriguez ke JDT II, JDT buru Figueroa dan Mutu untuk posisi penyerang

Johor Bahru: Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ) terus melakukan pelaburan besar apabila memburu khidmat bekas pemain Boca Juniors, Luciano Figueroa untuk mempertajamkan barisan serangan Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

PBNJ juga mengintai khidmat bekas pemain Chelsea, Andrian Mutu, seandainya usaha mendapatkan Figueroo gagal.

Langkah itu diambil selepas pemain import JDT, Braulio Nobrega Rodriguez dari Sepanyol diserapkan dalam skuad Johor Darul Ta’zim II (JDT II) untuk mengharungi kempen Liga Perdana.

Perlu segera

Apa pun keputusan sama ada khidmat Figueroa atau Mutu menjadi taruhan JDT harus disegerakan tatkala tarikh tamat pendaftaran pemain import pada musim depan berakhir 4 Disember ini selepas skuad Harimau Selatan itu sudah mendapatkan khidmat bekas pemain Argentina, Pablo Aimar dan pemain tengah Lions XII, Hariss Harun.

Figueroa yang berasal dari Santa Fe, Argentina kini beraksi untuk kelab Panathinaikos di Liga Greece dan pernah bersama Boca Juniors secara pinjaman ketika musim 2008 hingga 2009.

Pemain itu juga pernah menyarung jersi skuad Argentina dengan 15 penampilan dari 2004 hingga 2005.
Figueroa yang memiliki ketinggian 1.80 meter itu kini berusia 32 tahun dan mempunyai pengalaman luas bukan sahaja beraksi di Liga Argentina malah pernah beraksi di Liga Eropah.

Menurut laman rasmi PBNJ, Johor Southern Tigers, pemain itu menjadi taruhan JDT untuk menyertai skuad bimbingan Cesar Ferrando Jiminez mengharungi saingan Liga M musim depan dan seandainya gagal PBNJ akan mendapatkan khidmat Mutu.

Adrian Mutu

Mutu yang memiliki corak permainan pantas mewakili Romania dari 2000 sehingga 2013 dan pernah beraksi untuk kelab ternama Liga Perdana Inggeris itu pada musim 2003 sebelum berpindah ke Jeventus untuk saingan Series A Itali (2005-2006), Fiorentina (2006-2011) dan Cesena (2011-2012).

Pemain berusia 34 tahun kini beraksi pada saingan Liga Perancis bersama kelab AC Ajaccio.

Ketua Jurulatih JDT II, Azmi Mohamed, berkata beliau berterima kasih kepada PBNJ dan menerima dengan hati terbuka kehadiran Rodriguez ke dalam skuad bimbingannya itu.

“Bekas pemain Bawah 21 Tahun Sepanyol itu akan memperkuatkan barisan depan JDT II yang kini turut diperkuatkan dengan kehadiran penyerang, Zaquan Adha Abd Radzak dalam mengharungi kempen Liga Perdana,” katanya. – BH

, , ,