Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Nazrin terpaksa lupakan perlawanan menentang China

PETALING JAYA – Selepas khidmat Khairul Fahmi Che Mat dan Farisham Ismail dari Kelantan, diketepikan ekoran kecederaan, giliran pemain Negeri Sembilan, Nazrin Nawi pula mengikut jejak sama untuk melupakan perlawanan persahabatan skuad kebangsaan dengan China di Tianjin, Selasa ini.

Dia cedera pangkal paha, semalam sekali gus perlu menjalani pemulihan selama 10 hari, namun tiada pemain dalam senarai simpanan bakal dipanggil jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal memandangkan skuad negara bakal berlepas hari ini dan kesuntukan masa untuk membuat visa ke China.

“Saya tidak mahu mengambil risiko seperti mana Khairul Fahmi dan Farisham memandangkan mereka juga teras pasukan masing-masing yang dalam tempoh genting Piala Malaysia. Jadi tanpa Nazrin pula, kami akan ke China hanya dengan 23 pemain, berbanding 25 pada mulanya,” katanya pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.

Rajagobal turut berpuas hati dengan kembalinya pertahanan Pahang, Razman Roslan selepas tiga tahun tiada dalam pasukan kebangsaan sejak Piala Suzuki AFF 2010 dan menyifatkan satu kepentingan memandangkan mereka bakal berdepan China, sebuah pasukan kuat yang juga naib juara Piala Asia Timur di Seoul, Julai lalu.

“Saya panggil dia selepas ramai pemain pertahanan kita yang perlu bersama Harimau Muda A ke Pestabola Merdeka (di Kuantan, Sabtu hingga 14 September). Dia pun bermain dengan konsisten dalam Piala Malaysia (empat perlawanan peringkat kumpulan).

“Begitu juga Sani Anuar Kamsani (penjaga gol Sarawak ekoran ketiadaan Khairul Fahmi dan Norazlan Razali). Dia pernah dipanggil tahun ini dan bermain baik dalam Piala Malaysia. Saya mahu lihat bagaimana apabila dia bersama pasukan negara pula,” katanya.

Rajagobal berkata, mulai sekarang tumpuannya hanyalah untuk menyediakan pasukan kebangsaan pada tahap terbaik menjelang Kelayakan Piala Asia 2015 mulai menentang Bahrain, bulan depan tanpa sesekali mahu mempedulikan kritikan pelbagai pihak tentang prestasi anak buahnya. – Utusan

, ,