Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Harimau Muda ke final, Singa Muda tersingkir

SKUAD Harimau Muda menempah tiket ke final Pestabola Merdeka 2013 selepas berjaya menjinakkan Myanmar 2-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.

Kemenangan kedua berturut-turut itu membolehkan Harimau Muda mendahului saingan dengan enam mata maksimum selepas menang 1-0 ke atas Singapura dalam aksi pertama Sabtu lalu.

Beraksi di atas padang kering malam tadi, Harimau Muda menampilkan permainan lebih tersusun berbanding ketika menentang Singapura.

Seawal minit ketiga, pemain sayap Harimau Muda, Wan Zack Haikal Wan Nor membuat larian pantas bagi membelah benteng pertahanan Myanmar, namun rembatan pemain kelab Ryukyu FC itu tepat ke dakapan penjaga gol Myanmar, Pyaye Phyo Aung.

Tujuh minit kemudian, perancang Myanmar, Kyi Lin pula mendapat peluang di hadapan pintu gol Harimau Muda, namun percubaannya sedikit tersasar.

Myanmar mendapat peluang menerusi sepakan percuma di sebelah kanan pintu gol Malaysia pada minit ke-15, namun penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi sudah dapat membaca sepakan kapten Myanmar, Kyaw Zayar Win.

Peluang terbaik Harimau Muda sekali lagi hadir menerusi Wan Zack pada minit ke-20, namun sepakan percumanya sekadar menggegar palang Myanmar.

Stadium bergema apabila pemain tengah Harimau Muda, Putera Nadher Amarhan atau Junior Eldstal berjaya menanduk masuk gol hasil satu sepakan penjuru pada minit ke-26.

Namun jaringan itu dibatalkan oleh pengadil dari Singapura, Abd. Malik Abd. Bashir kerana dia belum mengarahkan sepakan dilakukan.

Memasuki minit ke-38 berpunca daripada sepakan penjuru, tonggak Myanmar, Nay Lin Tun berjaya menanduk masuk gol pembukaan perlawanan .

Gol yang dicari-cari Harimau Muda akhirnya tercipta pada minit ke-64 apabila kapten, Mohd. Irfan Fazail bijak menyudahkan hantaran Putera hasil sepakan percuma yang diambil Wan Zack.

Wan Zack mengesahkan kemenangan Harimau Muda menerusi sepakan percuma yang cukup menarik pada minit ke-78.

Bagi pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee, beliau sudah menjangkakan kesukaran dalam perlawanan menentang lawan kental seperti Myanmar.

“Semasa rehat separuh masa, saya meminta para pemain melupakan aksi separuh masa pertama dan bangkit.

“Berkat usaha keras serta tidak mengenal erti kecewa akhirnya kami mampu membuat kebangkitan seterusnya menewaskan Myanmar 2-1,” katanya.

Sementara itu, nasib serba tidak kena buat skuad bawah 23 Singapura apabila tewas dua kali berturut-turut pada kancah Pestabola Merdeka walaupun pada awalnya diletakkan sebagai antara pasukan pilihan ke final.

Lebih malang lagi, ketika kekalahan 1-0 kepada Thailand di Stadium Darul Makmur, semalam, Singapura turut menyaksikan pengendali, V Sundramoorthy diarah keluar padang pada minit ke-79.

Gol tunggal Thailand dijaringkan Pakorn Parmpak pada minit ke-34 hasil sepakan lambung menarik dari sebelah kiri padang.

“Saya tidak tidak tahu mengapa dia diarahkan keluar,” kata penolong jurulatih K Balagumaran yang mewakili Sundramoorthy pada sidang akhbar selepas perlawanan, semalam.

Hilang ramai tonggak

Balagumaran turut mengakui skuadnya yang kehilangan ramai tonggak utama serta menampilkan beberapa pemain baru masih mentah dan memerlukan lebih banyak pendedahan di peringkat kompetitif.

“Thailand pasukan yang kuat serta dibarisi pemain berpengalaman, kami pula menampilkan pemain muda yang belum diuji. Kejohanan ini baik untuk kami sebagai persediaan ke Sukan SEA nanti,” katanya.
Parmpak muncul wira

Sementara itu nasib Sundramoorthy yang diarahkan keluar padang hanya akan diketahui hari ini sama ada dibenarkan berada di bangku simpanan atau tidak pada perlawanan ketiga menentang Myanmar, esok.

Terdahulu, anak didik Kairung Threejagsang melakukan serangan bertali arus ke kubu Singapura dengan skuad ‘Gajah Perang’ bawah 23 tahun itu itu memiliki beberapa peluang terbaik menjaringkan gol pembukaan namun dinafikan ketangkasan penjaga gol Singapura, Neezam Abdul Aziz.

Kekebalan Neezam bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Parmpak berjaya menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-34.

Thailand akan melengkapkan aksi peringkat awal dengan menentang Harimau Muda A manakala Singapura akan bertemu dengan Myanmar, esok.

HIGHLIGHTS

 

, ,