Shahidan cabar FAM

BEKAS Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim mencabar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memecatnya daripada PFA jika FAM berhasrat mengambil tindakan terhadapnya kerana terus mengkritik badan induk itu.

“Tak perlu gantung-gantung, pecat saja saya tetapi dengan syarat jangan bagi PFA kacau saya lagi (minta saya bayar gaji pemain Perlis).

“Saya tidak mahu ada kaitan apa-apa lagi dalam persatuan itu,” kata Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada pemberita selepas majlis taklimat kepada ahli Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur semalam.

Sambil mempertahankan tindakannya, Shahidan turut melahirkan rasa terkilan apabila FAM hanya mengenakan hukuman ke atasnya sedangkan masih ramai pemimpin yang mengkritik badan induk itu.

“(Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan) Tan Sri Annuar Musa keluarkan kenyataan tiap-tiap hari mengenai FAM, mereka tidak kata apa-apa.

“(Jurulatih Harimau Malaya) Datuk K. Rajagobal pun tak kena gantung. Kalau saya, suka hati mahu hukum, ingat saya tiada kepentingan, senang-senang mahu denda,” jelas Shahidan.

Sabtu lalu, bekas Menteri Besar Perlis itu mengeluarkan kenyataan berhubung kemarahannya terhadap FAM yang telah menggantungnya tetapi tiada pegawai badan induk tersebut yang bertanya khabar PFA.

Shahidan juga meluahkan keluhan kerana terpaksa mengeluarkan duit sakunya untuk membayar gaji pemain Perlis ketika menjadi presiden skuad Singa Utara dan meminta FAM membantu PFA yang kini dilanda masalah kewangan.

Selain digantung 30 bulan, Shahidan turut didenda RM39,000 dan hilang status sebagai Presiden PFA, anggota Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM dan anggota Jawatankuasa Kewangan FAM sehingga September 2015.

Comments

comments

, ,