Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Sarawak rampas kedudukan Sime Darby

SARAWAK kini merampas kedudukan pendahulu Liga Premier daripada Sime Darby apabila berjaya mengalahkan lawan mereka itu 1-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi.

Penyerang sensasi, Bobby Gonzales muncul wira Sarawak apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-19 menerusi aksi ‘tandukan terbang’ selepas menerima hantaran daripada Zamri Morshidi.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad Bujang Senang yang sebelum ini menduduki tangga kedua liga menerajui carta dengan kelebihan satu mata berbanding Sime Darby.

Selepas 16 perlawanan, Sarawak kini mengumpul 40 mata manakala Sime Darby kekal dengan 39 mata.

Ini merupakan kemenangan ke-12 buat skuad kendalian Robert Alberts, sekali gus mengekalkan rekod bersih tanpa kalah di gelanggang sendiri musim ini.

Bagaimanapun dalam tempoh 10 minit pertama, pasukan pelawat dilihat mendominasi perlawanan dengan melancarkan serangan bertali-arus.

Namun, benteng pertahanan yang diterajui Ronny Harun, Rames Lai dan Mohd. Hairol Mokhtar gagal ditembusi penyerang lawan.

Tersentak dengan gerakan pasukan lawan, Sarawak mula melancarkan serangan balas, dan mereka berjaya mencemaskan pintu gol Sime Darby menerusi gerakan pantas penyerang import, Muamer Salibasic dan Bobby, namun percubaan mereka tidak menemui sasaran.

Kerja keras pasukan tuan rumah akhirnya berbalas pada minit ke-19 apabila Bobby bijak menyambar hantaran Zamri dengan tandukan kemas, yang terus menerjah ke gawang lawan bagi membolehkan mereka mendahului 1-0.

Aksi pada separuh masa kedua, sekadar menyaksikan peluang yang dicipta oleh kedua-dua pasukan gagal menemui sasaran ekoran penyudah yang lemah.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan bagi membolehkan Sarawak mengambil alih sebagai pendahulu Liga Premier.

, , ,