Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Johor DT tunai hajat, LionsXII kukuhkan cengkaman

JOHOR Darul Takzim (Johor DT) mengamuk di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin malam tadi.

Skuad kendalian Fandi Ahmad itu bangkit garang untuk mencatat kemenangan bergaya 3-1 ke atas Selangor PKNS pada aksi Liga Super, sekali gus meraih tiga mata berharga.

Selepas mengharungi 16 perlawanan, Johor DT kekal di tangga ketiga liga dengan mengumpul 28 mata di belakang pendahulu Lions XII dan ATM di tangga kedua liga.

Kemenangan tersebut juga merupakan kemenangan ke sembilan pasukan Johor DT dan setakat ini masih mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri.

Pada perlawanan malam tadi, George Nunez meledak gol pembukaan Johor DT pada minit ke-29 selepas bijak menyudahkan hantaran silang Nurul Azwan Roya sebelum Norshahrul Idlan Talaha menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-42.

Bersambung babak kedua, tuan rumah dilihat agak hilang fokus sehingga membenarkan PKNS menjaringkan gol pada minit ke-50 menerusi Patrick Ronaldinho untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Begitu pun, Johor DT tidak rela diratah dan mereka turs menggandakan asakan sehingga berjaya memperoleh gol ketiga menerusi Nurul Azwan pada minit ke-85 yang bijak menyudahkan hantaran pemain gantian, Mohd. Safee Sali.

Safee hampir menambah derita PKNS menerusi percubaannya pada minit-minit terakhir perlawanan, tetapi tidak menemui sasaran.

Kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, Lions XII terus mengukuhkan cengkaman di puncak liga selepas menundukkan T-Team 3-0 pada aksi yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Kemenangan itu turut menyaksikan wakil Singapura itu berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri sepanjang musim ini.

Kemenangan Lions itu disumbangkan kapten, Shahril Ishak yang meledak gol pembukaan pada minit ke-10, diikuti Muhammad Shakir Hamzah (m-29) dan Fazrul Nawaz Shahul Hameed pada minit-minit terakhir perlawanan.

Untuk rekod, Lions XII yang kekurangan satu perlawanan, kekal selaku pendahulu Liga Super dengan 34 mata, satu mata mengatasi pencabar terdekat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Lions XII bakal bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan sementara T-Team menantikan kunjungan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Jumaat depan.

, ,