Suarez mahu tinggalkan Reds

Luis Suarez sudah bersedia untuk meninggalkan kelabnya Liverpool.

Moral penyerang kontroversi itu semakin luntur setelah digantung 10 perlawanan kerana menggigit bintang Chelsea, Branislav Ivanovic.

Suarez mengakui: “Saya tidak gembira kerana ini akan memusnahkan impian saya untuk menjadi penyerang terbaik England tahun ini.”

Hukuman Persatuan Bola Sepak (FA) England telah menutup peluangnya untuk meraih anugerah penjaring terbanyak kerana Suarez akan terlepas semua baki perlawanan musim ini termasuk enam pertemuan pertama bagi musim 2013-14.

Ahli keluarga Suarez di Uruguay mendakwa semangat bintang Reds itu kini semakin luntur ekoran hukuman penggantungan tersebut.

Liverpool, yang diberi tempoh untuk mengemukakan rayuan sehingga tengah hari semalam berkata, mereka terkejut dan kecewa dengan tempoh hukuman penggantungan yang dikenakan ke atas pemain tersebut.

Pegawai kelab itu turut bimbang Suarez akan mengambil keputusan meninggalkan Liverpool jika berasakan dirinya menjadi mangsa kepada niat jahat.

Pengarah Urusan Liverpool, Ian Ayre berkata: “Kelab dan para pemain terkejut serta kecewa dengan keputusan yang disifatkan terlalu keras.”

Meskipun memiliki rekod disiplin lampau yang tidak bagus, Suarez mendakwa, dia seharusnya digantung tiga perlawanan atas kesalahan tersebut.

Ejen pemain itu, Pere Guardiola bersiap bersedia untuk bertemu dengan pihak pengurusan Liverpool, minggu depan bagi membincangkan mengenai kemungkinan Suarez akan berpindah keluar dari England.

Suarez enggan mengulas mengenai kemungkinan dia akan meninggalkan Anfield tetapi berkata: “Saya tidak memikirkan mengenai masa depan saya, tetapi imej saya. Saya bukan pemain yang ganas. Apa yang berlaku dengan Ivanovic adalah spontan dan saya minta maaf.”

Suarez meledakkan 23 gol dalam aksi liga musim ini dan hanya kurang satu jaringan di belakang Robin van Persie.

Comments

comments

, , ,