Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

AFC Cup: Penentuan hidup atau mati Red Giants

Bertemu dengan pasukan lawan yang sudah tersingkir awal, Tampines Rovers bukan bermakna ia laluan mudah buat Selangor mencipta kemenangan dalam perlawanan yang cukup penting bagi menentukan nasib mereka untuk mara ke pusingan kedua Piala AFC 2013.

Situasi itu diakui sendiri jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim yang mahu anak buahnya memberikan aksi terbaik jika mahu mengutip tiga mata penuh dalam aksi terakhir Kumpulan D menentang kelab Singapura itu di Stadium Jalan Besar malam ini.

Skuad Gergasi Merah itu yang menduduki tangga ketiga kumpulan dengan mengumpul lima mata perlu menang ke atas Tampines sambil mengharapkan pasukan di tangga kedua Xuan Thanh Sai Gon tumpas kepada East Bengal bagi menempah tiket ke pusingan seterusnya.

Biarpun dihimpit dengan jadual padat di peringkat domestik dan antarabangsa, Irfan tetap yakin pemain-pemain akan turun dengan penuh semangat seperti yang dipamerkan ketika mengikat pendahulu Liga Super, LionsXII 0-0 Sabtu lalu.

“Kami sudah beraksi dalam 10 perlawanan bulan ini. Kami mencuba untuk merancang sebaik mungkin bagi mengharungi perlawanan di peringkat domestik dan Piala AFC kerana kami kekurangan pemain berkualiti.

“Tapi kami tetap akan mencuba yang terbaik dalam setiap perlawanan seperti yang kami lakukan ketika menentang LionsXII dalam liga,” katanya.
Sementara itu rakan sejawatnya di Tampines, Nenad Bacina memberikan amaran kemenangan ke atas Selangor tetap menjadi buruan meskipun ia tidak akan mengubah kedudukan mereka di tangga tercorot kumpulan.

“Kami tahu nasib kami dalam Piala AFC tetapi ini bukan bermakna kami akan menggunakan perlawanan ini untuk suka-suka. Kami beraksi di laman sendiri dan semestinya akan cuba mengutip tiga mata penuh agar kami dapat menamatkan musim sekurang-kurangnya dengan satu kemenangan,” kata Nenad yang menyaksikan anak buahnya mengikat Selangor 3-3 pada pertembungan di Stadium Shah Alam bulan lalu.

Saksikan secara streaming perlawanan ini di sini.

, ,