Ferguson belum puas hati walaupun Kagawa cipta hatrik

MANCHESTER – Meskipun cemerlang melakar hatrik ketika membantu Manchester United mengatasi Norwich City 4-0 dalam aksi Liga Perdana England di Old Trafford malam kelmarin, aksi memukau yang dipamerkan Shinji Kagawa masih belum memuaskan hati Alex Ferguson.

Sebaliknya, pengendali United itu memberitahu, Kagawa masih memerlukan masa sekurang-kurangnya setahun sebelum memberikan impak sebenar terhadap pasukannya.

Kelmarin, Kagawa muncul pemain Asia pertama mencetak hatrik dalam saingan Liga Perdana England sekali gus membantu United menjarakkan kedudukan selaku pendahulu liga dengan 15 mata di depan pencabar terdekat, Manchester City.

Namun, Ferguson percaya Kagawa masih memerlukan masa menyesuaikan diri dengan corak permainan di England.

“Kagawa memiliki sentuhan penyudah yang cukup berkesan, gol kedua dan ketiganya sememangnya menakjubkan.

“Ketika ini, Kagawa kembali menemui semula sentuhannya selepas mengalami kecederaan Oktober lalu.

“Saya percaya dia akan menjadi lebih hebat setahun dari sekarang,” kata Ferguson.

Kata-kata Ferguson itu seolah-olah membayangkan bakal mengenepikan Kagawa daripada kesebelasan utama ketika kembali melayan kunjungan Real Madrid dalam aksi kedua pusingan kalah mati kempen Liga Juara-Juara di Old Trafford, awal pagi Rabu ini.

Untuk rekod, Kagawa, 23, sebelum ini hanya mencetak dua gol bersama United dalam saingan liga selepas berhijrah dari Borussia Dortmund dengan yuran perpindahan sebanyak £12 juta (RM55.7 juta) musim lalu.

Begitupun, Ferguson memuji keberkesanan Kagawa mengemudi jentera tengah United kelmarin berbanding ketika beraksi di posisi sayap sebelum ini.

“Dia berjaya mengubah corak persembahan kami, sesungguhnya Kagawa beraksi dengan cukup bagus,” kata Ferguson.

Dalam pada itu, Kagawa mengakui lebih teruja jika diturunkan ketika berdepan Real berbanding kejayaan melakar hatrik kelmarin.

“Sudah tentu ia satu cerita yang sensasi di Jepun, tetapi mereka lebih gemar jika saya membantu United mengatasi Real.

“Untuk itu, saya benar-benar berharap supaya diturunkan dalam perlawanan itu,” kata Kagawa.
– AFP

Highlight perlawanan di sini.

Comments

comments

, , ,