Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Totti kecewakan Juventus

Rome: Penyerang AS Roma, Francesco Totti menjaringkan gol cantik dari jarak jauh selepas hampir sejam beraksi untuk menewaskan pendahulu Serie A, Juventus 1-0 pada perlawanan di Stadium Olimpik, kelmarin.

Kapten Roma itu berlari mengejar bola yang disepak keluar dari kawasan berbahaya oleh Miralem Pjanic sebelum melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan penjaga gol Gianluigi Buffon sekali gus menyaksikan Juve kekal 55 mata, lima mata di depan penghuni tangga kedua, Napoli yang boleh mengurangkan defisit kepada dua mata andai menang ke atas Sampdoria.

Penyerang yang kini mengumpul 224 jaringan dalam Serie A, hanya satu kurang berbanding pemegang rekod, Gunnar Nordahl itu sememangnya mempunyai rekod cemerlang menjaringkan gol dan melakukannya pada babak kedua.

Pengurus Juve, Antonio Conte nyata kecewa selepas persembahan mengecewakan pasukan yang kepenatan gara-gara jadual padat.

“Kami tidak gembira dengan corak permainan yang dipamerkan selepas beraksi tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari,” katanya sambil merujuk kepada kemenangan selesa pasukan itu 3-0 ke atas Celtic dalam saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dan kemenangan 2-0 ke atas Fiorentina minggu lalu.

“Kepenatan dalam tiga perlawanan sebelum ini, menentang pasukan besar menjadi alasan tunggal yang boleh saya berikan malam ini kerana kami tidak bermain sebagai satu pasukan, apabila kami tidak bermain sebagai satu unit, mana-mana pasukan boleh atasi kami.

“Saya harap pada masa depan, mereka menyusun jadual perlawanan dengan lebih baik dan menghormati pasukan Itali yang bersaing di peringkat Eropah.” Kemenangan pertama Roma ke atas Juve itu membolehkan mereka melonjak ke tangga ketujuh dengan 37 mata daripada 25 perlawanan, selain menamatkan badi enam perlawanan terakhir tanpa kemenangan sehingga menyebabkan peminat mereka memberontak dan Zdenek Zeman dipecat dua minggu lalu. -Reuters

Highlight perlawanan di sini.

, , ,