Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Juventus enggan bermegah

GLASGOW – Jurulatih Juventus, Antonio Conte pastinya individu yang paling berpuas hati di tepi padang sebaik skuad kendaliannya melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Celtic dalam aksi pertama pusingan kalah mati kempen Liga Juara-Juara di Stadium Parkhead awal pagi semalam.

Conte yang pernah digantung empat bulan kerana didapati bersalah atas tuduhan mengatur perlawanan sebelum ini sudah boleh tersenyum lebar selepas menyaksikan kemampuan anak-anak
buahnya meraih bekalan selesa ke Stadium Juventus dalam aksi kedua kira-kira tiga minggu lagi.

Kejayaan menerajui takhta saingan liga domestik – Serie A ketika ini juga dilihat melengkapkan mimpi indah Conte bagi melupakan kedukaan silam.

Meskipun sedar aksi di Turin selepas ini bagaikan pelengkap jadual perlawanan semata-mata, Conte masih tetap menghormati kemampuan Celtic.

“Ia satu kemenangan yang cukup penting memandangkan Celtic dilihat cukup liat untuk ditewaskan di depan penyokong sendiri.

“Sejujurnya, saya tidak pernah mengharungi perlawanan yang cukup tertekan seperti itu sebelum ini,” kata Conte.

Dalam perlawanan itu, Juventus memecah kebuntuan seawal minit ketiga menerusi jaringan Alessandro Matri sebelum Claudio Marchisio menggandakan kelebihan buat pasukan pelawat pada minit ke-77.

Mirko Vucinic akhirnya melengkapkan mimpi ngeri tuan rumah apabila menjaringkan gol ketiga Juventus pada minit ke-83.

Conte memberitahu, anak-anak buahnya perlu kekal berwaspada biarpun memiliki kelebihan peraturan gol di tempat lawan.

“Barcelona pernah tewas di sini (Glasgow). Selain itu, Celtic juga pernah menyingkirkan Benfica (pada peringkat kumpulan musim lalu).

“Jadi tiada sebab mengapa kami perlu beraksi sambil lewa di Turin selepas ini.” – Reuters

Highlight perlawanan di sini

, ,