Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

‘Jangan ‘halau’ Suarez dari Liga Inggeris’

Liverpool: Luis Suarez mungkin meninggalkan Liga Perdana Inggeris jika orang ramai terus memberi tekanan ke atasnya.

Itu amaran keras dari bekas pengarah Liverpool, Damien Comolli. “Tindakan yang amat memalukan arena bola sepak Inggeris andai orang ramai terus menghukum Luis hingga mengakibatkan dia pergi. Dia pemain bola sepak yang hebat dan seorang profesional. Malah, dia amat komited dengan pasukan, rakan seangkatan dan kerjayanya.

“Pedulikan apa yang dilakukannya asalkan dia seorang juara.

“Selaku liga terbesar di dunia, pastinya peminat ingin terus mengekalkan pemain hebat dan bukan membuatkan dia pergi kerana sebab yang tidak munasabah.

“Sukar untuk saya fahami mengapa orang ramai terlalu tumpukan pada aspek yang buruk seperti itu dan bukannya kehebatan pemain.

“Orang ramai perlu berhenti mengkritik Luis. Dia bukanlah orang yang kita mahu perangi,” katanya.

Suarez, 25, menyertai Liverpool dengan bayaran £24 juta (RM116 juta) dari Ajax pada Januari 2011 ketika Comoli masih bersama Liverpool.

Pemain Uruguay itu bakal turun menentang Manchester United, malam ini selepas dia enggan bersalam dengan Patrice Evra pada pertemuan awal musim ini.

Lantaran itu, dia digantung lapan perlawanan kerana mencemuh Evra dengan kata-kata berunsur perkauman. Sebelum ini, Suarez turut didakwa sering merebahkan badannya di padang.

Minggu lalu, dia tersentuh bola sebelum menjaringkan gol untuk membantu Liverpool menewaskan Mansfield, 2-1 pada saingan Piala FA.

Pemain pertahanan United, Alexander Buttner mengulas terhadap tindakan Suarez di Twitter.

“Mansfield layak seri. Semuanya kerana Luis Suarez yang menyentuh bola! Ini adalah bola sepak bukannya ‘bola tangan’!,” katanya.

Bagaimanapun, jurulatih The Kop, Brendan Rodgers menyokong penyerang yang juga pemain bintangnya.

“Saya faham situasi Suarez. Terlalu banyak kritikan dilemparkan kepadanya,” katanya. – Agensi

, , ,