Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Pengacara radio kesal sebabkan jururawat bunuh diri

SYDNEY: Dua pengacara radio yang panggilan palsu mereka menyebabkan seorang jururawat diraja di sebuah hospital di London membunuh diri, semalam meluahkan perasaan kecewa terhadap kejadian itu dalam satu wawancara.

Mel Greig dan Michael Christian berkata, mereka berhajat menghantar ucapan takziah kepada suami dan keluarga Jacintha Saldanha.

“Ia satu kejadian tragik yang tidak diramalkan oleh sesiapa. Anda tahu peranan kami dalam kejadian itu dan kami amat kesal,” kata Christian.

Mel yang kelihatan menangis dan jelas terkejut menambah: “Saya juga begitu kecewa dengan apa yang berlaku.” Kedua-dua pengacara berkenaan meluahkan kesedihan mereka buat kali pertama dalam wawancara berkenaan dan mengaku mereka tersentak dan terlalu kecewa.

Mereka mungkin tidak akan meminta maaf berhubung panggilan ke hospital Duchess of Cambridge selepas ketua stesen radio tempat mereka bekerja menganggap tindakan itu mungkin keterlaluan.

Jacintha, 46, ibu dua anak yang juga dikenali sebagai Jess, ditemui mati di kuarters jururawat di Hospital King Edward VII, tengah London, Jumaat lalu. Dia dipercayai menggantung diri.

Selasa lalu, dia menerima panggilan daripada Mel, 30 dan Christian yang menyamar sebagai Ratu Elizabeth dan Putera Charles. Jururawat itu yang tidak mengesyaki apa-apa, menyambungkan mereka ke wad tempat isteri Putera William, Kate, 30, dirawat.

Mel memberitahu rangkaian televisyen Australia mengenai bagaimana dia mendapat berita mengenai kematian jururawat itu. “Saya masih ingat saat itu dan tidak dapat melupakannya sejak ia berlaku.

Saya ingat soalan pertama saya, ’Adakah dia seorang ibu?’” “Saya sentiasa terkenang peristiwa berkenaan. Saya hanya mahu menghubungi keluarganya, memeluk mereka dan memohon maaf,” kata Mel.

Christian menambah: “Saya hanya berharap keluarganya mendapat kasih sayang, sokongan dan penjagaan yang mereka perlukan.” Di tanya bagaimana perasaannya, dia menjawab: “Amat kecewa.” Kedua-dua pengacara itu kelihatan sebak ketika bercakap.

Stesen radio Sydney, 2Day FM semalam berkata, kedua-dua petugas mereka itu berusaha untuk mencari cara terbaik bagi menghubungi keluarga Jacintha.

Tetapi apabila ditanya sama adakah mereka akan memohon maaf, jurucakapnya, Sandy Kaye berkata: “Tidak. Itu mungkin langkah yang keterlaluan. Mereka sudah pasti mahu mengucapkan takziah.

Tetapi ia isu yang begitu sensitif di banyak peringkat.” Tetapi pagi semalam, pengacara itu bertindak memohon maaf menerusi televisyen Australia. – DM

,