Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Kelantan yakin kekal treble musim depan

Kota Bharu: Juara Trebel musim ini, Kelantan melaungkan amaran awal mahu mengekalkan tiga piala yang dimenanginya dengan mengambil bintang muda dari Australia, Dimitri Petratos bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan itu untuk musim depan.

Pemain berusia 20 tahun itu sebelum ini beraksi di Liga-A Australia bersama pasukan Sydney FC dan juga menjadi penyerang skuad bawah 20 tahun Australia.

The Red Warriors turut mendapatkan khidmat pemain import dari Crotia, Lek Kchira, 29 yang akan bermain di posisi pertahanan dan seorang pemain tempatan yang pernah bersama Johor FC, Haris Safuan Mohd Kamal.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau percaya dengan kehadiran beberapa pemain baru dalam skuad Kijang musim depan dapat merealisasikan impian The Red Warriors (TRW) mengekalkan kejuaraan trebel yang dimenangi musim ini.

“Saya yakin dengan kehadiran pemain bertaraf bintang dari luar negara dan tempatan dapat membantu Kelantan mengharungi laluan yang dijangka sukar musim depan dengan kehadiran pasukan kuat seperti Johor dan Tentera.

“Kami berusaha membawa penyerang muda dari Australia itu bagi persediaan menghadapi liga musim depan selain bagi membolehkan kita mampu memberi saingan yang sengit di peringkat Piala AFC.

“Petratos pernah bermain di peringkat lebih tinggi ketika bersama Sydney FC termasuk bersama pasukan bawah 20 tahun Australia. Bagi saya dia sandaran terbaik kami untuk menghadapi peringkat lebih tinggi seperti Piala AFC,” kata Annuar kepada pemberita ketika majlis memperkenalkan pemain di Kafe TRW, di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis itu termasuk Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim; Penolong Pengurus Pasukan, Wan Badri Wan Omar serta dua pemain dari T-Team, Zairo Anuar Zalani dan Mohd Faiz Subri.[BH]

, ,