Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Jackie Chan berhenti berlakon filem aksi

KEPUTUSAN yang dibuat oleh pelakon kelahiran Hong Kong yang terkenal di seluruh dunia, Jackie Chan yang mahu bersara daripada lakonan pastinya mengejutkan ramai pihak terutama peminat setianya.

Bagaimanapun, Jackie Chan yang ditemui semasa majlis promosi filem terbaharunya berjudul Chinese Zodiac 2012 atau tajuk ringkasnya, CZ12 di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur baru-baru ini menegaskan dia bukan mahu meninggalkan dunia seni buat selama-lamanya.

“Sebelum ini ramai yang salah sangka dengan kenyataan yang telah saya buat. Ingin saya nyatakan bahawa saya cuma mahu bersara daripada berlakon dalam filem aksi.

“Selepas ini saya akan terus terbabit dalam bidang lakonan dan peminat masih boleh menyaksikan aksi saya di layar perak. Walaupun sudah 52 tahun menjadi pelakon, saya sendiri tidak pasti bila saya akan berhenti berlakon,” jelas pelakon berusia 58 tahun itu.

Mengulas dengan lebih lanjut mengenai persaraannya itu, Jackie mendedahkan bahawa sebenarnya pernah terlintas dalam fikirannya untuk bersara sepenuhnya daripada bidang lakonan.

Meskipun dia hampir-hampir membuat keputusan berhenti berlakon, namun disebabkan rasa cintanya yang sangat mendalam terhadap bidang lakonan menyebabkan dia akhirnya bertindak mengubah fikiran.

“Saya mengambil keputusan yang agak lama mempertimbangkan keputusan yang ingin dibuat. Kemudian, setelah berfikir panjang akhirnya saya bertekad untuk berhenti berlakon filem aksi.

“Usia merupakan salah satu faktor yang menyebabkan saya membuat keputusan ini. Pada usia sekarang saya perlu memikirkan keselamatan diri memandangkan semua aksi bahaya dilakukan oleh saya sendiri,” ujarnya.

Memandangkan CZ12 merupakan filem aksi terakhir lakonannya, Jackie atau nama sebenarnya Chan Kong Sang menyifatkan filem berkenaan sangat istimewa buat dirinya.
Pertama kali menangis

Bercerita mengenai filem terbaharunya itu, pelakon berkenaan menyatakan, dia terpaksa mengambil masa sehingga tujuh tahun menyiapkan skrip serta melakukan banyak kajian untuk menghasilkannya.
“Mungkin ramai yang tidak tahu sewaktu selesai menjalani penggambaran CZ12 pada hari terakhir di Latvia, secara tiba-tiba saya telah menangis.

“Pada masa itu memang ramai yang bertanya kenapa saya menangis, tetapi saya sendiri tidak ada jawapannya. Itulah kali pertama saya menangis di lokasi penggambaran sepanjang bergelar pelakon,” dedahnya.

FIGURA yang sinonim dengan filem aksi ini mengakui sangat mencintai dunia lakonan yang sudah 52 tahun diharunginya.

 



CZ12 mengisahkan tentang misi sebuah kumpulan yang ditugaskan untuk menghantar semula kepala patung 12 haiwan zodiak Cina yang telah diambil dari Old Summer Palace di Beijing, China oleh tentera Perancis dan British semasa Perang Candu yang berlangsung dari 1856 hingga 1860.

Dalam misi berkenaan terdapat pelbagai halangan yang terpaksa ditempuhi oleh Jackie menerusi watak sebagai JC dengan bantuan beberapa orang rakannya.

Selain Jackie, turut membintangi filem tersebut, antaranya Yao Xing Tong, Liao Fan, Zhang Lan Xin, Steve Yoo Seung Jun, Laura Weissbecker dan Kwone Sang Woo.

Menjalani penggambaran selama 50 hari di beberapa buah negara seperti Hong Kong, Taiwan, China, Perancis dan Latvia, CZ12 sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak kelmarin, 20 Disember.

Sylvester Stallone

Di sebalik kenyataan berhubung persaraannya itu, tiba-tiba terdapat pula khabar angin yang mengatakan Jackie kini sedang dalam proses perbincangan untuk berlakon dalam filem Rush Hour 4.

Bagaimanapun, pelakon yang pernah menjalani penggambaran filem Police Story 3 di Malaysia pada tahun 1992 lantas menyangkal cerita yang mengatakan dia akan membintangi filem berkenaan.

“Baru-baru ini saya pergi ke Amerika Syarikat untuk berbincang tentang sebuah projek filem, tetapi bukan tentang Rush Hour 4. Sebaliknya, saya akan menghasilkan sebuah filem yang memaparkan kisah mengenai persahabatan berjudul Skip Tracers.

“Dalam filem berkenaan mungkin saya akan bergandingan dengan Chris Tucker dan Owen Wilson sehinggakan ramai yang bertanya kenapa saya masih mahu bekerjasama dengan kedua-dua pelakon terkenal Hollywood itu. Jawapannya cukup mudah iaitu saya selesa berlakon dengan mereka berdua,” jelasnya.

Biarpun tidak lagi melakonkan watak aksi dalam filem-filem lakonannya selepas ini, Jackie memberitahu, dia sudah memberi persetujuan untuk terbabit dalam filem aksi The Expendables 3.
“Sebelum ini saya ada mendapat tawaran berlakon dalam The Expendables 2, namun terpaksa menolaknya kerana sedang sibuk dengan penggambaran CZ12.

“Kemudian saya sekali lagi ditawarkan oleh Sylvester Stallone untuk siri The Expendables yang ketiga. Saya akhirnya bersetuju dengan beberapa syarat iaitu diberi watak kecil tanpa sebarang aksi serta cuma beberapa babak yang membabitkan diri saya,” ujarnya.

Bonnie

Dalam pada itu, selain Jackie Chan, turut hadir ke Kuala Lumpur untuk promosi CZ12 ialah dua aktres jelita China yang turut membintangi filem itu iaitu Zhang Lan Xin dan Yao Xing Tong.
Salah seorang pelakon iaitu Zhang yang membawakan watak sebagai Bonnie berkata, sepanjang penggambaran Jackie memang banyak membantunya dan pelbagai ilmu dan pengalaman yang diperoleh terutamanya tentang dunia lakonan.

“Watak sebagai Bonnie memang agak mencabar, tetapi saya tiada masalah melakukan babak aksi terutamanya ketika berlawan memandangkan saya aktif dalam seni mempertahankan diri,” ujarnya selaku pemenang pertandingan Taekwando peringkat kebangsaan di China pada tahun 2004.

Sementara itu, Yao pula tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya apabila berpeluang berlakon dengan seorang aktor yang hebat dan terkenal di seluruh dunia seperti Jackie Chan.

Mengakui pada mulanya berasa agak takut kerana tidak ada pengalaman berlakon dalam filem aksi, aktres itu meluahkan rasa lega kerana tidak mengalami sebarang kecederaan sepanjang penggambaran.

“Sehingga kini CZ12 merupakan satu-satunya filem saya yang agak besar. Jadi, saya berharap menerusi filem ini saya akan mendapat lagi tawaran berlakon pada masa akan datang,” ujarnya.

,