Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Rozaimi pasrah tiada jodoh dgn Tero

JODOH antara peledak muda negara, Rozaimi Abdul Rahman bersama kelab Thailand, BEC Tero Sasana dilihat seakan-akan sudah ternoktah.

Semalam, penyerang muda Sabah itu mengesahkan tidak menerima apa-apa maklum balas daripada kelab itu setakat ini.

Sebelum ini, Tero Sasana itu dikhabarkan berminat mendapatkan khidmat Rozaimi musim depan.

Begitupun, ia menemui jalan buntu ekoran Rozaimi terlebih dahulu diikat Selangor sebagai pemain pinjaman sepanjang mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.

Biarpun telah menamatkan tugas bersama Gergasi Merah, tiada sebarang tawaran susulan dikemukakan Tero Sasana setakat ini.

“Buat masa ini, saya tidak menerima mana-mana tawaran daripada mana-mana pasukan termasuk Tero Sasana.

“Jika tidak ada rezeki, saya pasrah dan tidak kecewa,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Kosmo! pada 7 Julai lalu melaporkan hasrat naib juara Liga Juara-Juara Asia 2002 itu berminat untuk mendapatkan khidmat Rozaimi musim depan.

Ia ekoran kecemerlangan Rozaimi meledak 10 gol pada aksi kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun di Myanmar, Jun lalu.

Untuk rekod, Tero Sasana menamatkan saingan Liga Premier Thailand musim ini di tempat ketiga apabila berjaya mengumpul 57 mata dari 34 perlawanan.

Dalam pada itu, Rozaimi masih belum membuat keputusan muktamad sama ada mahu kekal bersama Sabah ataupun menyertai Harimau Muda musim depan.

“Keputusan masih 50-50, saya hanya boleh membuat keputusan selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Sabah 8 November ini,” katanya ringkas.

, ,