Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Rumah berkunci

ALOR SETAR: Seorang lelaki ditemui rentung di tepi katil dalam sebuah bilik di rumahnya, beberapa jam selepas bertengkar dengan isterinya di Flat Taman Setia Jaya, Jalan Langgar, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian 6.50 petang, Ng Eng Hoo, 53, ditemui mati dalam keadaan terlentang di lantai bilik utama di rumah flat enam tingkat yang didiami bersama isterinya, Khor Chin Queek, 53.

Difahamkan, mangsa yang juga bapa kepada empat anak yang tinggal di tingkat satu flat itu dikatakan bertengkar dengan isterinya selepas berlaku perselisihan faham, sebelum wanita itu keluar meninggalkannya berseorangan di rumah.

Empat anak mangsa iaitu dua lelaki dan dua perempuan berusia lingkungan 20 hingga 30-an tidak menetap di rumah berkenaan kerana masing-masing berkerja di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Jiran mangsa, Ooi Poh Sim, 54, berkata, ketika kejadian dia mandi di rumahnya yang terletak bersebelahan, sebelum dimaklumkan mengenai bunyi letupan kuat oleh anaknya lalu bergegas keluar menyelamatkan diri.

“Saya terkejut melihat rumah mangsa terbakar dan terdengar beberapa bunyi letupan susulan sebelum meminta semua ahli keluarga keluar kerana bimbang api merebak ke rumah kami.

“Selain kami sekeluarga, jiran lain yang tinggal di tingkat sama turut bertempiaran menyelamatkan diri kerana api marak begitu cepat dan saya dimaklumkan, mangsa ada di dalam rumah.

“Namun, kami tidak dapat menyelamatkannya kerana pintu rumahnya dikunci,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Mahmad Fauzi Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.07 malam dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian dengan dua jentera bersama 12 anggota.

“Api berjaya dikawal 20 minit kemudian dan hasil pemeriksaan di rumah itu, kami menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan terlentang di tepi katil di dalam sebuah bilik dalam keadaan melecur teruk.

“Difahamkan, rumah ini didiami mangsa bersama isterinya, namun ketika kejadian hanya mangsa ada di rumah,” katanya.

Mahmad berkata, anggotanya mengumpil pintu depan rumah mangsa yang berkunci untuk masuk dan bagi tujuan keselamatan, bekalan elektrik di tingkat satu flat terbabit terpaksa diputuskan sementara.

“Kita masih menjalankan siasatan berhubung punca kejadian dan anggaran kerugian,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan kejadian dan memaklumkan, polis masih menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat dan sehingga kini kita belum dapat mengesahkan punca kematian,” katanya.

,