Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Jejak pasangan samun ejen hartanah

KUALA LUMPUR: Polis menjejaki sepasang kekasih yang dipercayai menyamun dan mencabul seorang ejen hartanah wanita pada minggu lalu di sebuah unit kondominium mewah di Mont Kiara, di sini.

Mangsa yang berusia 34 tahun itu, dilaporkan membawa pasangan yang menyamar sebagai bakal penyewa terbabit bagi melihat kondominium untuk disewa itu sebelum dia diikat, dibogelkan, dicabul dan ditampar sebelum disamun kedua-dua suspek terbabit. Wanita terbabit bagaimanapun diselamatkan pada jam 3 pagi Jumaat lalu, kira-kira 10 jam selepas dikurung apabila polis menerima aduan daripada penghuni lain yang terdengar tangisan dan jeritan meminta tolong.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, hasil siasatan polis mendapati pasangan penyamun itu menggunakan kereta Mitsubishi Lancer putih dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu ketika melakukan jenayah samun terbabit.

“Kami juga mendapatkan gambaran kedua-dua individu terbabit melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mengedarkan gambar mereka serta menggesa orang ramai yang mengenali pasangan terbabit supaya menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Najeeb bin Mohd Esan di talian 012-7293533 atau Balai Polis Travers atau balai berhampiran,” katanya.

, ,