Oops! It appears that you have disabled your Javascript. In order for you to see this page as it is meant to appear, we ask that you please re-enable your Javascript!

Buka gerai burger depan rumah Ambiga

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga membuka gerai burger di depan kediaman Datuk S Ambiga di Bukit Damansara di sini, sebagai bantahan meminta pengerusi BERSIH 3.0 itu bertanggungjawab ke atas kerugian dialami peniaga di ibu kota akibat perhimpunan pada 28 April lalu.


Sehubungan itu, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) yang mewakili peniaga di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) memberi tempoh dua minggu kepada Ambiga untuk membayar ganti rugi dianggarkan RM200,000.

Presiden IKHLAS, Mohd Ridzuan Abdullah, berkata jika Ambiga gagal berbuat demikian lebih banyak gerai membabitkan pelbagai jenis perniagaan akan dibuka depan rumah beliau.

“Hari ini kita membuka kedai burger depan rumah Ambiga tanda protes dan mahu dia bertanggungjawab atas ganti rugi peniaga di ibu kota akibat perhimpunan itu.

“Jika Ambiga gagal berbuat demikian, selepas ini lebih banyak gerai akan dibuka di depan rumahnya kerana pada perhimpunan tahun lalu peniaga dan usahawan kecil rugi RM817,205,” katanya.

Terdahulu, pada jam 2 petang, peniaga Sujaidi Kartimin, 45, mendirikan gerai burger hampir sejam di depan rumah Ambiga di nombor 67, Jalan Setiakasih 1 di sini, sambil dibantu ahli IKHLAS.

“Saya rugi RM2,000 akibat perhimpunan kerana tidak dapat berniaga di pasar malam Jalan TAR. Kebiasaannya saya mampu menghabiskan 20 kampit roti burger dan 10 papan telur berniaga pada pasar malam.
“Perniagaan di Jalan TAR lubuk buat peniaga seperti kami. Jika kutipan jualan tidak memberangsangkan, bagaimana kami boleh membayar sewa tapak RM300,” katanya yang berniaga di kawasan itu sejak 1986.

Sementara itu, Ambiga berkata, beliau kecewa kerana menganggap tindakan itu tidak wajar dan turut mengganggu ketenteraman jiran di sekitar kawasan perumahannya.

“Ini bukan caranya, jika mahu menuntut ganti rugi perlu dilakukan berdasarkan prosedur undang-undang dan biar mahkamah tentukan perkara itu, ” katanya sambil ditemani dua pengawal peribadi.

, ,